RAJA Ilya. FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON, Raja Ilya menjelaskan sudah bersedia untuk menerima kecaman warganet sebelum memuat naik video memaparkan dia sedang mandi baru-baru ini.

Katanya, video itu sebahagian daripada strategi bagi mempromosikan syampu yang digunakan.

Menurutnya, video yang menunjukkan dia sedang mandi itu juga mendapat kebenaran dan persetujuan daripada suaminya, Trent Garret, warga Australia untuk dimuat naik di laman Instagramnya (IG).

“Bukan saya tak berbaju dalam video itu. Saya berpakaian penuh. Sebenarnya apa yang ingin saya ketengahkan adalah syampu itu bagus untuk rambut.

“Saya hendak menunjukkan bahawa ia juga tidak menyebabkan rambut gugur,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media filem terbaru lakonannya KL Vampires di Kuala Lumpur, malam tadi.

Selain berlakon katanya, dia juga menerima banyak tawaran untuk membuat previu produk. Malah ada antara tawaran untuk melakukan previu itu dibayar tinggi.

“Bayangkan pengeluar produk yang mengambil saya untuk melakukan previu membayar harga tinggi. Sudah tentu mereka mengharapkan nilai wang dikeluarkan itu akan memberikan pulangan dan promosi yang saya lakukan memberi impak.

“Sebagai selebriti yang dipelawa untuk membuat previu produk terbabit, pastinya saya harus menjadi kreatif atau melakukan perkara berbeza supaya mereka yang menyaksikan video itu rasa tertarik.

“Dalam merancang bagaimana hendak melakukan video yang memberi impak saya ada berbincang dengan suami dan dia berasakan ia menarik serta membenarkan memuat naik di IG,” katanya.

Katanya, kecaman yang dilemparkan warganet dengan mengatakan dia berbuat demikian kerana berkahwin dengan ‘mat salleh’ serta sudah melupakan adat dan tata susila adalah tidak adil.

“Mereka tidak kenal suami saya dan membuat andaian sedemikian adalah sangat tidak bagus.

“Kita mudah menghukum sedangkan kalau mereka kenal suami dan ahli keluarganya, mereka jauh lebih beradab berbanding orang kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 3:50 PM