AZMIRA tidak menolak kemungkinan ramai artis berdepan nasib sama sepertinya. FOTO Instagram Azmira Arif
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Azmira Arif tidak lagi menghiraukan mengenai stesen radio yang tidak memilih untuk memainkan lagunya di stesen radio mereka.

Azmira yang kini hadir dengan single berjudul Pencinta Setia bersyukur kerana walaupun tidak ke udara di radio, lagunya masih mendapat perhatian pendengar.

"Berkenaan stesen radio, takkanlah saya nak mengamuk letak pisau di leher mereka dan suruh mainkan lagu saya. Jadi, biarkanlah mereka.

"Kalau mereka tak amanah dalam menjalankan tanggungjawab sehingga menganiaya orang yang benar-benar berusaha, mereka jawablah nanti," katanya.

Azmira juga tidak menolak bahawa ramai artis yang berdepan nasib sama sepertinya.

"Ramai yang bagi maklum balas positif dan sukakan lagu Pencinta Setia. Ramai juga yang tanya kenapa radio tak mainkan lagu itu.

“Susah saya nak jawab. Bukan saya saja, malah ramai artis lain mengalami nasib yang sama," katanya.

Walaupun mempunyai kekurangan dari segi percakapan kerana sengau, Azmira tidak pernah meraih simpati menggunakan kekurangannya itu.

"Saya tak pernah menggunakan kekurangan yang ada pada diri bagi meraih simpati sebagai jalan mudah untuk berjaya. Sepuluh tahun saya masih lagi bersabar dan bertahan dalam industri.

"Berkat kesabaran dan usaha saya, syukur alhamdulillah rezeki buat masa ini sentiasa ada. Allah melihat usaha dan kesabaran hamba-Nya," katanya.

Pencinta Setia adalah karya ciptaan penyanyi dan komposer, Asfan Shah, berkolaborasi bersama Khairul Daniel manakala liriknya pula ditulis oleh Fedtri Yahya.

Sejak dilancarkan setahun lalu, video muzik Pencinta Setia kini sudah ditonton lebih 400,000 tontonan di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 5:51 PM