DINI sudah beberapa kali membawa Janna berjumpa ibunya. FOTO Instagram Dini Azan Schatzmann
Ardini Sophia Sina


PELAKON kacukan Melayu-Switzerland, Dini Azan Schatzmann mendedahkan belum ada sebarang perancangan untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Janna Nick kerana hubungan mereka masih berada pada peringkat awal.

Dini ketika dihubungi berkata, dia bagaimanapun sudah beberapa kali membawa pelakon wanita itu berjumpa dengan ibunya.

"Ya, sudah beberapa kali saya bawa dia berjumpa dengan ibu. Bagaimanapun tidak ada perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam masa terdekat. Apa pun, kalau ada berita baik, kami akan kongsikan.

"Hubungan kami mulai serius sejak Jun tahun lalu. Saya tidak ada masalah untuk berkongsi cerita peribadi tetapi harus letakkan batas juga kerana enggan kisah ini lebih menonjol berbanding kerjaya," katanya.

Dini mengakui keperibadian Janna memikul tanggungjawab menjaga keluarganya antara daya tarikan yang membuatkan dia jatuh cinta terhadap wanita itu.

"Dia mulai menjaga keluarganya sejak usianya masih muda. Tanggungjawab yang dipikul itu sangat besar dan berat tetapi dia dapat laksanakan dengan baik. Saya kagum dengan perkara itu.

"Selain itu, Janna juga seorang yang lembut dan ambil berat. Ia membuatkan saya selesa setiap kali meluangkan masa bersamanya," katanya.

Perkenalan Dini dengan Janna bermula tahun lalu ketika menjayakan drama Bukan Cinta Aku. Hubungan mereka semakin rapat apabila Dini menjadi jurulatih kecergasan untuk Janna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 9:10 PM