Skip this ad x
IDEA baharu dengan jalan cerita lebih menarik dapat sambutan hangat penonton
Oleh Ramlah Zainal


FILEM genre seram terus mendapat tempat di hati penonton dan memiliki ramai peminat di seluruh dunia. Oleh itu, tidak hairanlah pembikin filem Hollywood terus berusaha mencari idea baharu dengan jalan cerita lebih menarik dan mampu menakutkan penonton.

Meneruskan kesinambungan tahun ini, pelbagai filem seram disajikan bermula daripada genre psiko-thriller, seram klasik, ‘remake’ sehinggalah seram ‘superhero’ disajikan untuk memuaskan penggemar cerita seram.

Minggu ini, RapXtra menyenaraikan 10 filem genre seram terbaik Hollywood yang mendapat sambutan hangat penonton sepanjang tahun ini.

Ready Or Not

Filem arahan Matt Bettinelli-Olpin dan Tyler Gillett ini mengangkat cerita mengenai perkahwinan Grace (lakonan Samara Weaving) dengan Alex Le Domas (Mark O’ Brien) daripada keturunan keluarga Le Domas yang kaya dan terkenal dengan perniagaan ‘boardgame’ mereka.

Grace juga perlu mengikuti tradisi sebagai anggota keluarga baharu dia perlu menyertai satu permainan membabitkan pembunuhan sadis terlebih dulu.

Mengikut tradisi, jika pengantin perempuan tidak berjaya dibunuh dipercayai sesuatu yang buruk akan menimpa keluarga itu.

Filem ini turut menampilkan lakonan Henry Czerny, Andie MacDowell dan Adam Brody.

Velvet Buzzsaw

Filem seram satira arahan Dan Gilroy ini menceritakan mengenai pengkritik seni halus menemui lukisan misteri hasil sentuhan pelukis tidak dikenali yang memiliki kuasa paranormal.

Pelukis itu juga menggunakan lukisan dihasilkannya untuk membalas dendam terhadap sesiapa yang mahu mengaut keuntungan daripadanya.

Filem ini diterajui pelakon terkenal, Jake Gyllenhaal. Dan Gilroy juga pernah mengarahkan filem Night Crawler, The Square dan Eyes of Laura Mars.

Happy Death Day 2U

Selepas kejayaan filem pertama Happy Death Day pada 2017, Blumhouse Productions kembali dengan sekuel Happy Death Day 2U tahun ini.

Filem arahan Christopher Landon juga menampilkan Jessica Rothe dan Israel Broussard yang kembali melakonkan watak Theresa ‘Tree’ Gelbman dan Carter Davis pada sekuel ini.

Sekuel filem ini meneruskan kesinambungan daripada kematian Tree pada Happy Death Day.

Sebelum ini, Christopher pernah mengarahkan beberapa filem genre seram seperti Disturbia (2007), Paranormal Activity 2 (2010), Paranormal Activity 3(2011), Paranormal Activity 4 (2012) dan Paranormal Activity: The Marked Ones (2014)

The Prodigy

Bimbang dengan keadaan anak lelakinya yang berkelakuan pelik, seorang ibu yang berasakan ia ada kaitan dengan perkara ghaib terus membawa anaknya itu berjumpa pakar terapi.

Filem seram arahan Nicholas Mc Carthy ini menampilkan pelakon seperti Taylor Schilling, Jackson Robert Scott dan Peter Mooney.

Us

Selepas filem seram Get Out pada 2017, pengarah Jordan Peele kembali dengan genre seram psiko-thriller berjudul Us tahun ini.

Filem lakonan Winston Duke dan Lupita Nyong’o ini menceritakan sepasang suami isteri, Adelaide serta Gabe Wilson yang membawa anak mereka ke sebuah rumah di pesisir pantai.

Mereka pergi dengan tujuan bercuti bersama temannya, keluarga Tyler.

Namun, semuanya berubah pada waktu malam dengan kekacauan dan pembunuhan.

Pengunjung tidak dikenali datang tanpa diundang ke kediaman mereka.

Anehnya, sekelompok orang ini memiliki wajah yang sama dengan anggota keluarga Wilson.

Pet Sematary

Adaptasi novel terkenal karya Stephen King, Pet Sematary juga diiktiraf filem seram terbaik tahun ini.

Plot penceritaan filem ini juga sesuatu yang tidak diduga kerana pengakhirannya juga berbeza daripada novel diterbitkan.

Berdasarkan novel, watak anak lelaki Dr Louis Creed dan Rachel, Gage akan mati, tetapi dalam filem arahan Kevin Kolsch dan Dennis Widmyer ini, anak perempuan pasangan ini iaitu Ellie pula mati akibat dilanggar treler ketika asyik melihat jelmaan kucingnya, Church yang berada di atas jalan.

The Curse Of La Lhorna

Filem seram terbitan James Wan ini diarahkan Michael Chaves dan ditulis Chaves serta Tobias Iaconis.

Filem ini diangkat daripada cerita legenda rakyat Mexico mengenai La Llorona (The Weeping Woman).

La Llorona adalah hantu wanita menangisi anaknya yang sudah mati. Tangisan itu akan mengakibatkan derita atau kemalangan bagi sesiapa pun yang mendengarnya.

La Llorona dilakonkan Marisol Ramirez adalah iblis yang jahat dan akan membunuh keluarga mempunyai dua anak. Filem ini pernah dihasilkan di Mexico pada 1933 dengan Judul La Llorona.

Brightburn

Filem genre seram superhero Brightburn arahan David Yarovesky ini menceritakan sepasang suami isteri terjumpa bayi dengan kuasa misteri yang datang dari angkasa lepas dan mengambilnya sebagai anak angkat. Mereka cuba membesarkannya dengan tujuan dia akan menggunakan kuasanya itu untuk kebaikan, tetapi sebaliknya pula berlaku.

Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Elizabeth Banks, David Denman, Jackson A Dunn dan Matt Jones.

Midsommar

Filem Midsommar menceritakan mengenai festival musim panas yang aneh dan berakhir dengan ketegangan. Filem arahan Ari Aster ini adalah cerita pada musim panas yang ditunggu-tunggu peminat.

Sebelum ini, Ari Aster pernah berjaya menerusi filem seramnya berjudul Hereditary. Barisan pelakon filem ini ialah Florence Pugh, Will Poulter dan William Jackson Harper.

Child’s Play

Bagi mereka yang lahir pada era 1980-an dan 90-an pasti mengenali patung mainan menyeramkan bernama Chucky dirasuk roh pembunuh yang kemudian melakukan pelbagai pembunuhan.

Kejayaan Chucky dalam Child’s Play (1988) membuatkan watak ciptaan Don Mancini ini diteruskan dalam trilogi dan empat kisah lain yang masih menggunakan karakter Chucky seperti Bride of Chucky, Seed of Chucky, Curse of Chucky serta Cult of Chucky.

Filem Child’s Play arahan Lars Klevberg ini masih memaparkan watak Chucky, tetapi dengan versi baharu yang lebih menyeramkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 5:10 AM