SURAYA (kiri) mendakwa penganjur tidak menjelaskan baki bayaran persembahan suaminya, Mus (kanan) ketika menyanyi di Melaka pada 31 Ogos lalu. FOTO Arkib NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"KALAU dia seorang nak jadi gila, kami tidak mahu ikut jejak langkah itu. Apa yang kami mahu adalah selesaikan bayaran kerana persembahan sudah dijayakan," kata Suraya Bahari, 46, isteri kepada penyanyi rock, Mustaffa Din, 51, yang juga bekas anggota kumpulan May.

Suraya memberikan reaksinya apabila seorang penganjur persembahan menyifatkan isteri kepada penyanyi rock tanah air mencari publisiti murahan sebaik mereka menuntut bayaran persembahan di Facebook, hari ini.

Menerusi catatan itu penganjur iaitu seorang wanita menyindir tindakan itu dilakukan kerana isteri penyanyi terbabit bimbang populariti suami mereka merudum disebabkan tiada undangan persembahan.

Suraya berkata, suaminya dijemput untuk menyanyi di Tanjung Bidara, Melaka, 31 Ogos lalu dan sehingga kini penganjur tidak melangsaikan bayaran RM4,000.

Katanya, dia meminta bayaran itu secara baik bermula 3 September hingga 12 Oktober lalu tetapi pelbagai alasan diberikan.

"Bukan hanya abang Mus (Mustaffa) ditipu tetapi ramai artis 90-an antaranya Asheed Def Gab C berjumlah RM9,000 dan Bandi Amuk berjumlah RM8,000," katanya.

Disebabkan itu katanya, ada dalam kalangan penyanyi akan menyaman penganjur selain membuat laporan polis.

Sebelum persembahan dijayakan, Suraya juga mengingatkan penganjur supaya tidak menggunakan nama Mus tetapi tidak dipedulikan.

Sementara itu, penganjur terbabit yang enggan dikenali ketika dihubungi berkata, dakwaan mengatakan pihaknya tidak melangsaikan bayaran adalah fitnah semata-mata.

Kenyataan diberikan penganjur itu berlainan pula apabila Mustaffa didakwa melanggar perjanjian lisan sejurus menggunakan nama dan menyanyikan lagu May sedangkan ia tidak dibenarkan.

"Kami bagaimanapun masih membayarnya RM2,000 sebagai penyanyi solo tambahan pula dia hadir pada persembahan ini. Pertikaian itu berlaku kerana penganjur turut menjemput kumpulan asal May untuk menjayakan majlis," katanya.

Menurutnya, bermula 2000 pihaknya sudah menjayakan pelbagai persembahan bagi membantu barisan artis rock tanah air.

"Setakat hari ini, kami sudah mengundang Mustaffa menjayakan 11 persembahan dengan membayarnya RM66,000. Kami tidak tahu kenapa isterinya sanggup menuduh sedemikian," katanya.

Berkaitan 10 artis yang dikatakan ditipu pihaknya, wanita itu menolak dakwaan dan sekali lagi menegaskan ia fitnah.

"Dalam kalangan artis yang didakwa, ada di antara mereka kami tidak pernah berurusan. Ada yang tiada masalah selain ada sudah diselesaikan mengikut perjanjian," katanya.

Penganjur itu berkata, dalam radar, lapan artis akan disaman syarikatnya kerana menabur pelbagai fitnah selepas mereka termakan hasutan beberapa pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 4:24 PM