AYOB memberi peringatan kepada pihak berkenaan untuk melangsaikan semua bayaran artis terbabit.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KONSORTIUM Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) memandang serius masalah menimpa 10 penyanyi rock tanah air yang dikatakan diperdaya oleh sebuah syarikat persembahan artis baru-baru ini.

Presidennya, Ayob Abd Majid berkata, semua penyanyi terbabit akan membuat laporan polis di Kuala Lumpur dan mengadakan sidang media, pada minggu hadapan.

Katanya, pihaknya dimaklumkan jumlah bayaran yang sepatutnya diterima 10 penyanyi itu mencecah nilai RM100,000 dan ia cukup mengecewakan.

"Kami (IRAMA) memberi peringatan kepada pihak berkenaan untuk melangsaikan semua bayaran ini. Ingatlah, orang lain juga mahu cari makan untuk keluarga," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Ayob, masalah membabitkan penganjur memperdaya artis tidak lagi perlu berulang dan ia amat menyakitkan hati.

"Jadilah profesional, artis sudah menjayakan persembahan tetapi apabila menuntut bayaran mereka terpaksa merayu. Malah, pelbagai alasan diberi (penganjur) sehingga mereka pulang dengan tangan kosong," katanya.

Tidak cukup dengan itu katanya, pihak penganjur turut menghina artis dengan bermacam cacian di media sosial.

Berita berkaitan

Isteri Mus dakwa penganjur tak selesai bayaran

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 5:18 PM