BAKAL memegang watak Syed Saddiq dalam filem Mahathir: The Journey.
Ramlah Zainal


PELAKON Dazrin Kamarudin menafikan dakwaan dia menggunakan dadah untuk menurunkan berat badannya ketika ini.

Dazrin berkata, dia hanya mengamalkan senaman dan diet seimbang tanpa pengambilan sebarang bahan terlarang.

“Alhamdulillah, saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 19 kilogram (kg) baru-baru ini. Berat badan saya pernah mencecah 89 kg selepas berkahwin. Kini, berat badan saya 70 kg saja,”katanya.

Dazrin ditemui pada majlis sidang media filem Mahathir: The Journey arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan di sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.

Ditanya siapa yang mendorongnya untuk menguruskan badan, Dazrin berkata, kesedaran datang daripada dirinya sendiri.

“Penurunan berat badan saya juga secara berperingkat dan tidak mendadak,” katanya

Pada masa sama,dia juga sukar mendapat tawaran watak hero dalam drama bersiri atau telefilem dengan berat badannya sebelum ini.

“Ramai penerbit drama meletakkan syarat untuk saya tampil kurus untuk berlakon sebagai hero dalam produksi mereka,” katanya.

Mengulas wataknya dalam filem Mahathir: The Journey, kata Dazrin, dia bakal melakonkan watak Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saya teruja dan gementar apabila ditawarkan berlakon dalam filem ini. Bukan mudah untuk saya melakonkan watak pemimpin yang sangat popular dalam kalangan anak muda ketika ini,” katanya.

Mahathir: The Journey menampilkan kisah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 11:53 AM