AZHAN minta ahli keluarga yang mempunyai anak OKU supaya memainkan peranan memantau atau mengawal tindakan mereka. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


PELAKON, Azhan Rani, 43, meminta ibu bapa dan keluarga yang memiliki anak golongan orang kurang upaya (OKU) memantau penggunaan telefon dan akaun media sosial mereka sekiranya ada.

Ia berikutan, dua hari lalu pelakon watak Ustaz Syed Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2 itu menerima mesej langsung (DM) di Instagram (IG) daripada seorang pemuda menulis perkataan kurang manis kepadanya.

Azhan berkata, dia yang kali pertama menerima mesej daripada pemuda terbabit beranggapan ia sekadar inginkan perhatian.

"Jadi, saya muat naik tangkap layar mesej itu sebagai perkongsian di IG dan tak sangka banyak juga maklum balas diterima.

"Ada juga komen daripada beberapa rakan artis mendakwa mereka pun pernah menerima mesej yang sama daripada pemuda terbabit.

"Malah, ada dalam kalangan pengikut IG saya memaklumkan pemuda terbabit adalah seorang OKU," katanya.

Azhan yang menjalani penggambaran drama di Tanjung Karang, Selangor berkata apa pun dia tidak berniat langsung mahu mengaibkan pemuda itu.

"Tujuan saya membuat perkongsian di IG sebagai memberi kesedaran kepada pengguna media sosial untuk berhati-hati dan saling menghormati di antara satu sama lain," katanya.

Menurutnya, dia juga ada menerima komen permohonan maaf daripada seorang individu yang memperkenalkan diri selaku abang pemuda terbabit.

"Saya pun tak mahu panjangkan cerita dan memaafkan perbuatan pemuda berkenaan tetapi meminta abangnya mengawal penggunaan telefon si adik.

"Ia penting supaya situasi tidak menjadi lebih buruk pada masa akan datang kepada orang lain pula," katanya.

Azhan berkata, jangan mudah menjadikan status OKU sebagai alasan untuk membolehkan bertindak di luar batasan.

"Dalam soal ini, saya tekankan kepada ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak OKU supaya memainkan peranan memantau atau mengawal tindakan mereka.

"Ini kerana tidak semua pemilik akaun media sosial tahu status seseorang pengguna itu ialah OKU. Jadi, ibu bapa dan keluarga harus peka," katanya.

Katanya, dia juga yakin golongan OKU boleh dididik dan dikawal dengan baik sekiranya ibu bapa berserta keluarga memainkan peranan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 3:39 PM