Ardini Sophia Sina


PENYANYI, Aiman Tino mengakui lagu baharunya berjudul Benci yang dilancarkan hari ini berkait rapat dengan dirinya yang pernah dikhianati oleh rakan baik.

Aiman ketika ditemui pada majlis pelancaran berkata, dia enggan mengulas lanjut isu berkenaan kerana ia adalah pengalaman perit apatah lagi dilakukan oleh individu yang dipercayainya.

"Kejadian itu berlaku tahun ini dan kalau ingat balik memang sakit. Kami sudah berkawan sejak sekolah rendah, tidak sangka dia sanggup tikam saya daripada belakang.

"Dia guna ribuan ringgit wang dalam akaun saya tanpa pengetahuan. Saya tidak tahu bagaimana dia boleh dapat Nombor Pengenalan Peribadi (PIN), mungkin dia nampak ketika saya gunakan kad sewaktu mengisi minyak kereta.

"Saya tahu dia pakai selepas menyedari kad bank tidak ada dalam dompet. Bagaimanapun, dia sudah bayar kembali jumlah itu," katanya.


AIMAN Tino berharap lagu Benci dapat mengembalikan popularitinya sama seperti ketika awal kemunculan tiga tahun lalu. FOTO Faiz Anuar

Kejadian itu mengajar Aiman supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya pada sesiapa kerana bimbang perkara sama berulang kembali.

Bercakap mengenai lagu baharunya, Aiman berharap karya itu dapat mengembalikan popularitinya sama seperti ketika awal kemunculan tiga tahun lalu.

"Lagu Benci ini boleh dikaitkan dalam apa saja situasi sama ada kawan tikam belakang atau cinta dikhianati. Tetapi, untuk klip lagu saya pilih cinta sebab ia lebih mudah untuk dilakonkan.

"Saya harap lagu ini diterima ramai selepas lama menyepikan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 8:05 PM