BARISAN sembilan artis Thai yang membuat persembahan.
Syanty Octavia Amry


MERAIKAN ulang tahun ketiga penubuhannya, platform Dimsum membawakan sembilan artis popular dari Thailand hadir ke Malaysia sempena konsert Dimsum Thai Pop 2019 di IDEAL Convention Centre (IDCC), Shah Alam, baru-baru ini.

Artis terbabit ialah Sunny Suwanmethanot, Thanapob Leeratanakachorn (Tor), Kritssanapoom Pibulsonggram (Jaylerr), Chonlathorn Kongyingyong (Captain), Ice Paris Intarakomalyasut, Wongravee Nateetorn (Sky), Billkin Putthipong, Kanyawee Songmuang (Thanaerng) dan Nichaphat Chatchaipholrat (Pearwah).

Memulakan tirai persembahan pada jam 6 petang dengan lagu The Lucky One nyanyian Tor, Jaylerr, Ice dan Captain, persembahan sebelum itu dimeriahkan dengan persembahan solo Tor menerusi lagu Hua Jai Kaung Tur.

Ice kemudian kembali semula ke pentas bersama Pearwah dan pasangan ini berduet menyanyikan lagu My Ambulance.

Terus menghangatkan suasana, Thanaerng muncul di pentas dengan melantunkan lagu It’s OK dan diikuti Billkin yang membawakan lagu You Are My Everything.

Persembahan petang itu diteruskan dengan nyanyian Billkin yang kali ini berduet bersama Pearwah menerusi Lost Stars. Sky dan Sunny mengambil alih pentas dan mendendangkan lagu Love Message.


Pearwah (tiga dari kiri) dan Ice (empat dari kiri) lincah di pentas.

Selain persembahan nyanyian, Sunny, Sky, Thanaerng, Pearwah dan Billkin juga turut meluangkan masa beramah mesra dengan peminat menerusi sesi permainan santai di pentas.

Ice kemudian menyanyikan lagu Let It Be dan diikuti Captain dengan lagu Comethru, Jaylerr dengan lagu Humble dan Jaylerr bersama Tor menerusi Counting Stars.

Menutup tirai persembahan semua artis berada di pentas menyanyikan lagu Uptown Funk.

Terdahulu, sehari sebelum konsert, semua artis turut hadir ke Central i-City, Shah Alam bagi sesi ramah mesra dan bertemu peminat setia mereka.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Urusan Star Media Group, Andreas Vogiatzakis.

Berkongsi perasaan masing-masing ketika berpeluang hadir ke negara ini, Pearwah berkata, dia terharu apabila lagu tema drama My Ambulance duet bersama Ice mendapat sambutan hangat di YouTube.


Jaylerr ketika sesi bersama peminat.

“Kami rasa gembira dan tidak sangka dengan sambutan yang diterima terhadap lagu ini apabila lebih 123 juta tontonan di YouTube yang turut membabitkan peminat dari Malaysia.

“Kami harap peminat di sini akan terus menyokong karier seni kami untuk projek akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ice pula berkata, kehadirannya ke Malaysia diharap dapat melaksanakan ‘bucket list’ untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik yang menjadi kegemarannya.

“Saya begitu meminati sukan terjun udara dan meluncur air dan berharap dapat peluang melakukan aktiviti berkenaan di sini satu hari nanti,” katanya.

Captain pula berkata, ini bukanlah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Malaysia.

“Saya pernah bercuti ke Sipadan bersama-sama Pearwah dan Thanaerng sebelum ini dan kami berhasrat bercuti ke tempat menarik lain yang ada di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:20 AM