(DARI kiri) Hazama, Hattan dan Azlan Typewriter dalam persiapan terakhir menjayakan konsert rockestral Rock Tri-O di Dewan Filharmonik Petronas. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Syafil Syazwan Jefri


TIGA bintang rock, Datuk Hattan, Hazama dan Azlan Typewriter kini melakukan persiapan terakhir sebelum menggegarkan pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) menerusi acara konsert rockestral Rock Tri-O yang akan berlangsung Sabtu dan Ahad ini.

Hattan ketika ditemui berkata, persiapannya lebih kepada lagu yang akan dinyanyikan bersama dua lagi penyanyi lain.

"Bahagian paling penting adalah ketika nyanyian bersama Hazama dan Lan serta satu lagi yang saya tekankan adalah, keharmonian ketika menyanyi diiringi oleh muzik orkestra," katanya kepada Harian Metro.

Hazama pula memberitahu, cabaran terbesar buatnya adalah untuk menyampaikan lagu berbahasa Inggeris.

"Lagu Inggeris menjadi cabaran buat saya. Selain itu, susunan muzik juga akan diberi kelainan supaya persembahan bertiga dapat memberikan penekanan kepada vokal setiap penyanyi," katanya.

Bagi Lan pula, dia sendiri bakal menampilkan kelainan dengan menyampaikan lagu yang belum pernah dinyanyikan sebelum ini.

"Ada lagu yang saya sendiri belum pernah persembahkan. Jadi, kita akan lihat bagaimana hasilnya di pentas konsert itu nanti," katanya.

Konsert Rock Tri-O juga bakal mendapat sentuhan muzik daripada konduktor muzik Ahmad Muriz Che Rose yang juga akan mengiringi persembahan ketiga-tiga artis ini.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan adalah Fantasia Bulan Madu, Memburu Rindu, Biso Bonar, Lagu Untukmu, Gerhana, Relakan Jiwa, Tiada Lagi Kidungmu, Pawana, Bohemian Rhapsody, Back In Black dan Stairway To Heaven.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 5:10 PM