ZED Zaidi (duduk empat kanan) bersama ahli SENIMAN di Mesyuarat Agung dan Pemilihan Jawatankuasa SENIMAN di FINAS, Hulu Klang. FOTO Salhani Ibrahim
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PERSATUAN Seniman Malaysia (SENIMAN) berlapang dada dengan ketidakhadiran pelakon, Fasha Sandha ke Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu ke-18, biarpun namanya dicadangkan sebagai ahli jawatankuasa (AJK) baharu di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, hari ini.

Penolong Setiausahanya, Rena Tan berkata, aktres terbabit sebelum ini sedia maklum berhubung pelantikan itu dan bersetuju untuk menjawatnya.

Namun atas kekangan penggambaran drama, Fasha tidak dapat hadir dan diwakili suaminya, Aidil Aziz.

Menurut Rena, pada Mesyuarat AJK selepas ini, Fasha akan dilantik semula dengan mengendalikan sebuah biro baharu.

"Fasha bersetuju dengan lantikan ini bagi menjaga kebajikan artis tanah air," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pelantikan kepimpinan baharu SENIMAN sesi 2019-2022, Zed Zaidi mengekalkan jawatan Presiden untuk penggal keempat berturut-turut, selepas menang tanpa bertanding.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, pemangku terdahulu, Zuraini Kassim mengisi kekosongan itu yang ditinggalkan oleh Zack Kool.

Pelakon, Hafiz Nafiah masih dikekalkan sebagai Setiausaha Agung dan dibantu Rena, manakala Zarina Raja Lawak turut mengekalkan jawatan Bendahari.

Sementara itu tujuh AJK turut dilantik iaitu Salman al-Farisi, Aliff AF8, Keena Mentor, Nor Azifah, Ayati Tasrip, pelakon baharu, Sivakumar dan Izzmad Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 4:54 PM