Sudirman Mohd Tahir


PENERBITAN drama di negara kita jarang sekali menjadi sebutan disebabkan kualiti karya atau naskhah yang dihasilkan.

Malah, sejak era media sosial penggunaannya dimanfaatkan semaksimum boleh termasuk mempromosikan drama.

Memandangkan pelakon terbabit memiliki pengikut berjuta, ia memudahkan lagi mereka untuk mencipta babak ‘rahsia’ yang disengajakan untuk dimuat naik di alam maya.

Paling mudah gambar atau video yang mampu mengundang tanda tanya.

Peminat dan warga alam maya pula dengan pantas berkongsi hingga menjadi sebutan satu Malaysia.

Kebiasaannya, perkara yang sengaja ditularkan itu sesuatu yang mencolok mata atau perbuatan yang kononnya dibuat tanpa disedari sesiapa.

Namun, si perancang boleh dianggap otak geliga kerana berkongsi gambar atau video tatkala drama sedang ke udara.

Impaknya, orang ramai akan bercerita dan nama pelakon itu akan sentiasa diperkata.

Meski perkara itu dianggap strategi ‘hina’ tetapi misi utama berjaya sebab drama dan nama mereka melekat di minda.

Tolak tepi gelaran yang dilemparkan, asal saja menjadi ‘trending’ sepanjang masa.

Seperti yang terjadi pada pelakon Zul Ariffin dan Intan Najuwa. Gambar Intan didukung Zul di pantai dalam keadaan basah tular hingga menjadi bahan perdebatan semasa.

Pengarah pula tidak tahu apa-apa kerana babak yang direka itu tidak

ada dalam skrip dan jalan cerita.

Malah, orang cerdik agama turut bersuara yang menganggap aksi dan perbuatan mereka itu selayaknya untuk golongan suami isteri yang sah.

Jadi, disarankan supaya kedua-duanya mendirikan rumah tangga bagi mengelakkan fitnah daripada terus berleluasa.

Berbalik kepada topik ini, biar apa pun orang mengata, hasilnya berjaya. Tawaran kerja pula tidak henti-henti diterima. Ditambah pula penerbit dan stesen TV memang suka pelakon yang popular di media sosial biarpun bakat lakonan tidak seberapa.

Disebabkan itu, perkara sebegini akan terus diguna secara berleluasa.

Tulis dan hinalah dengan perkataan apa saja, ia tidak akan mengubah ‘prinsip’ yang sudah dibina.

Era media sosial dan gilakan trending ketika ini, tidak keterlaluan jika dikata sifat malu sudah tidak bermakna.

Apa yang diutamakan adalah populariti dan glamor semata-mata.

Mungkin juga sudah menjadi adat semasa industri kita yang mana semuanya berlumba-lumba mengukur karya menerusi ‘trending’ di alam maya.

Maka, tidak hairan jika ada pelakon sanggup menghambakan diri dengan menjadi mangsa tular semata-semata untuk kekal diingati.

Alasan diberi, jika tidak ‘trending’ stesen TV tidak kenal dan peminat sudah anggap diri mereka sudah lama ‘mati’.

Apa pun yang cuba dibuat dalam usaha memeriahkan industri, sila berfikir dan jangan turutkan kata hati.

Jika ingin ‘trending’ sekali pun, bukan dengan cara menghina diri sendiri.

Buat sesuatu perkara biar kena dengan cara dan gaya. Paling penting ada kelas dan bukan nampak murah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:15 AM