Oleh Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS berkahwin dengan pengarah terkenal, Syamsul Yusof, pelakon cantik, Puteri Sarah mengambil keputusan berehat dalam bidang lakonan.

Sepanjang tempoh lima tahun perkahwinan mereka, Puteri Sarah, 34, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memberi fokus kepada keluarga.

Kesibukan Puteri Sarah atau mesra disapa Sarah bertambah selepas melahirkan anak sulung, Syaikul Islam yang kini berusia dua tahun.

Kemudian pasangan ini dikurniakan seorang lagi cahaya mata yang diberi nama Sumayyah yang kini berusia lapan bulan.

Kini, ibu kepada dua anak ini kembali mewarnai dunia seni apabila membuat kemunculan sebagai pengacara program Glam dan berlakon dalam telefilem Wasiat Untuk Khalina.

“Sejujurnya, keinginan untuk berlakon sudah lama. Apatah lagi ini adalah bidang yang membawa nama saya hingga dikenali. Cuma, ketika itu saya baru berkahwin. Jadi, keutamaan pada keluarga yang dibina.

“Alhamdulillah, selepas melahirkan anak kedua pada Mac lalu, saya mulai menyatakan hasrat kepada suami untuk kembali berlakon dan terbabit dalam bidang seni.

“Walaupun pada awalnya dia mempersoalkan dan pada masa sama dia tahu bidang ini adalah minat saya. Jadi, dia memberi keizinan. Tapi, tidak bermakna itu lesen untuk saya mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Apa yang dibuat suami sebenarnya dalam diam memberi sepenuh sokongan untuk saya mencapai impian,” katanya.

Kejutan dibuat Sarah menerusi kemunculan semula ini adalah dia pasang badan. Dalam erti kata lain, ‘comeback’ Sarah bukan biasa-biasa.

Malah, pujian wajar diberikan kerana dia kelihatan lebih bersedia terutama dalam penampilan.

Bagi Sarah, status ibu beranak dua bukan halangan untuknya bergaya dan tampil menarik.

“Walaupun tidak aktif dalam bidang ini, saya masih mengikuti perkembangan dunia seni dan lakonan. Ramai pelakon baharu dan muda muncul.

“Disebabkan itu, apabila ingin aktif semula saya perlu persiapkan diri dari segi penampilan. Selepas bersalin anak kedua, saya terus amalkan diet dan bersenam. Alhamdulillah, saya dapat hasil seperti diinginkan.

“Dalam perkara ini, ia menuntut disiplin tinggi selain kemahuan dalam diri. Jangan jadikan status sebagai alasan tidak menjaga penampilan. Bagi saya, ia penting sama ada wanita berkerjaya atau tidak,” katanya.

Sesuaikan diri

Selepas sekian lama tidak berlakon, Sarah mengakui ada sedikit kekok ketika hari pertama berada di lokasi penggambaran.

“Apabila saya terima tawaran ini, hati berdebar-debar sebab nak kembali berlakon. Alhamdulillah, selepas menjayakan beberapa babak, saya sudah mulai mendapat rentak dan boleh sesuaikan diri.

“Saya juga bertuah apabila pengarah, kru dan pelakon terbabit okey, jadi proses penggambaran berjalan lancar,” katanya.

Sarah mengakui, itu bukan kali pertama dia menerima tawaran berlakon, tapi sebelum ini terpaksa ditolak atas faktor tertentu.

Apatah lagi, ketika itu Sarah memang mahu memberi tumpuan kepada keluarga selain perniagaan yang diusahakan.

“Macam sekarang, bukan nak cakap saya boleh bebas berlakon, tidak. Tapi, ada sedikit ruang untuk saya kembali terbabit dalam bidang ini.

“Saya bukan jenis yang pentingkan diri. Saya masih tahu batas dan tanggungjawab yang perlu dibuat.

“Apabila berlakon, suami menjaga anak. Malah, boleh dikatakan setiap masa saya menghubungi anak. Sekurang-kurangnya mereka tidak berasa terlalu berjauhan dengan saya,” katanya.

Mengenai kehidupan peribadinya dengan suami, Sarah yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 1 Disember ini mengakui bersyukur kerana diberikan suami yang penyayang dan memahami.

“Sebelum kembali berlakon, saya sibuk menguruskan perniagaan Shara Cosmetics yang memasuki tahun kedua. Alhamdulillah, di sebalik kejayaan produk ini di belakangnya adalah suami saya.

“Mungkin ramai tak tahu, dia yang banyak memberi sokongan dan galakan untuk terbabit dalam perniagaan hingga berada pada tahap ini.

“Pada masa sama, saya perlu akui dia suami dan bapa yang sangat penyayang dan memahami. Itu membuatkan sepanjang lima tahun perkahwinan kami, saya berasa sangat bersyukur dan bahagia,” katanya yang bakal bercuti ke luar negara sempena hari jadinya bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 7:00 AM