AYOB aktif merencanakan program untuk artis rock 1990-an.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BIARPUN penyanyi baharu dilihat mendominasi industri hiburan tanah air, nasib penyanyi rock 90-an akan dibela apabila syarikat rakaman, Padi Record & Entertaiment kini merencanakan perjalanan seni mereka.

Pengarah Urusannya, Ayob Abd Majid berkata, pihaknya berusaha mengadakan persembahan bagi memastikan aktiviti seni penyanyi berpengalaman dapat diadakan.

Bagi tujuan itu, beliau yang juga Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) akan mengadakan program Himpunan Artis Anak Johor di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 6 Disember ini.

"Jika diperhatikan, kebanyakan artis di negara ini berasal dari Johor Bahru. Atas permintaan artis itu sendiri, mereka mahu 'pulang ke kampung' untuk bertemu 'orang kampung'," katanya.

Ayob menganggarkan kira-kira 20 artis dari Johor akan memeriahkan pusat beli belah terbabit dengan nyanyian lagu popular sekitar 1990-an.

Pada program itu juga, penyanyi terkenal, Datuk Awie akan bertandang bagi mempromosikan Konsert Romantika Awie 25 Tahun.

Dalam menjaga kebajikan penyanyi lama katanya, sekumpulan 'artis hijrah' akan memeriahkan penganjuran Planet Animasi Terengganu 2019 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) pada 5 hingga 7 Disember ini.

Artis berkenaan adalah bekas anggota Wings, Mel, Ali XPDC, Iwan Shahman, Ijam Medicine, Zul Handy Black, Dr Sam, Cheb Ali, Maulana Helmi dan Fitri Harris.

"Pada penganjuran ini, turut diadakan adalah program gelak tawa bersama Yassin Senario dan Program Istimewa Maulidur Rasul bersama Ameng Spring," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 3:41 PM