RAJA ILYA memang sudah mahu berehat panjang dan mula merancang untuk memiliki cahaya mata. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Oleh Rudy Imran Shamsudin


PELAKON utama filem KL Vampires, Raja Rahilah Begum Raja Mohammad atau Raja Ilya, 34, menetapkan tempoh setahun lagi untuk aktif berlakon sebelum berehat seketika bagi memberikan ruang kepada dia dan suami mempunyai cahaya mata.

Katanya, buat masa ini dia harus menyelesaikan segala tugas seperti mempromosikan filem KL Vampires dan drama Syurga Tak Sempurna 2 serta beberapa projek drama sebelum boleh berehat panjang.

“Kalau ikutkan hati saya memang sudah mahu berehat panjang dan mula merancang untuk memiliki cahaya mata. Tetapi masalahnya suami sendiri yang menyuruh saya sambung bekerja.

“Katanya dia takut kalau saya terus mengandung, nanti banyak perkara tidak boleh buat. Dalam waktu sama ada beberapa komitmen kerja yang perlu saya lunaskan terlebih dulu,” katanya.

Raja Ilya dan suami, Trent Garret, 37, berkahwin pada Disember 2018 di Australia dan mengadakan majlis resepsi di sini, September lalu.

Katanya, kalau diikutkan dia mahu menimang cahaya mata dalam waktu terdekat, tambahan pula usia dia dan suami sudah mencecah pertengahan 30-an.

“Keluarga saya mahupun mentua sebenarnya sudah bising dan mereka mahu kami menimang cahaya mata secepat mungkin.

“Masalahnya sebagai pengantin baru saya masih berasakan kami dalam fasa berbulan madu. Saya sedang menikmati keseronokan berkahwin,” katanya.

Katanya, mujur suaminya memahami dan tidak pernah memaksa. Garret juga banyak mendukung kerjaya seninya dan selalu memberikan sokongan untuk melakukan yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 4:12 PM