MIR menampilkan (dari kiri) Kai Nizam, Aweera, Moliano dan Azlan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


LAGU Sambutlah Kasih mengembalikan semula populariti kumpulan rock Lovehunters kepada peminat Malaysia.

Berasal dari Singapura, Lovehunters yang dianggotai Yazit (penyanyi), Moliano Rasmadi (gitar) dan Sahar (drum) mula aktif sejak pertengahan 1980-an dan popular dengan lagu antaranya Ku Ukir Namamu, Blues Untuk Rakyat dan Berpindah Minda.

Moliano berkata, kali terakhir mereka mengadakan konsert ialah pada 2011 di Esplanade, Singapura sebelum berehat panjang.

“Biarpun kumpulan ini berehat, saya kerap juga berjumpa Yazid dan Sahar untuk berbincang arah tuju kami. Mungkin tahun depan kami nak keluarkan single baru serta adakan konsert semula.

“Saya rancang nak buat konsert Lovehunters bersama orkestra. Sudah tentu akan bermula di Singapura dan selepas itu kami teringin juga nak beraksi di Istana Budaya, Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi meneruskan kecintaannya terhadap muzik, Moliano menubuhkan kumpulan Moliano In Rock (MIR) pada 2017.

“Saya sudah bersama Lovehunters lebih 30 tahun, jadi saya nakkan pembaharuan. Setakat ini, sudah tiga single dihasilkan antaranya berjudul Kehilanganmu menampilkan Uzzy dari Indonesia sebagai penyanyi.

“Sebenarnya anggota MIR, saya seorang sahaja. Ibaratnya seperti Santana di mana setiap album dan konsert akan tampil bertukar ganti. Kadang-kadang dia panggil Rob Thomas menyanyi dan adakala orang lain. Sama seperti kumpulan Rainbow yang diasaskan Ritchie Blackmore,” katanya.

Ada ketika, Moliano mengajak Sahar mengiringi persembahannya dan ia bergantung kepada jadual mereka sendiri.

“Saya suka bergabung dengan ramai pemuzik terutama yang muda kerana banyak perkara yang saya pelajari daripada mereka.

“Menerusi itu, saya tahu cita rasa anak muda dan dapat menggubah semula lagu Sambutlah Kasih mengikut cita rasa mereka.

“Saya gabungkan Azlan Typewriter, Aweera dan Kai Nizam dari Singapura. Harapnya idea ini diterima peminat kerana saya sekadar nak buat pembaharuan,” katanya.

Dalam pada itu, Moliano juga mengendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malay Youth Performing Art atau MYPART sejak sembilan tahun lalu.

“Ia bukan berasaskan keuntungan dan terbuka untuk kanak-kanak dari berusia tujuh hingga 19 tahun. Saya ajar muzik kepada mereka secara percuma.

“Saya buat begini untuk elakkan mereka terjebak gejala tak sihat. Tak semestinya masuk program ini, mereka jadi artis atau pemuzik kerana saya lebihkan kepada pembinaan karakter masing-masing, keyakinan diri dan lain-lain.

“Apabila mereka sudah habis belajar dan nak temu duga kerja, mereka sudah ada keyakinan yang tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:00 AM