BEN bersama Fariza. FOTO Instagram Ben Amir.
Georgie Joseph


PELAKON Ben Amir, 29, meluangkan masa melawat keluarga wanita bertubuh kerdil, Nur Fariza Abu Hassan, 34, semalam yang melukis potretnya sehingga tular baru-baru ini.

Ben turut memuji bakat dan usaha wanita itu melakukan sesuatu yang dicintainya selain kagum dengan semangat Fariza.

Fariza bertubuh kerdil kerana menghidap penyakit jarang jumpa, Mucopolysaccharidosis Type 4 (MPS 4) sejak lahir sekali gus membataskan pergerakannya.

“Saya sangat gembira bertemu awak dan keluarga. Percaya tak, ini adalah potret pertama yang Fariza lukis? Dua minggu dia lukis harap tak bosan tengok muka Ben.

“Kita boleh melakukan perkara yang hebat apabila kita meletakkan seluruh fokus kepadanya. Harap usaha Fariza dapat beri inspirasi kepada kita semua. Semestinya akan saya gantung di dinding rumah,” katanya menerusi Instagram semalam.

Pelakon terbabit bagaimanapun enggan mengulas lanjut butiran pertemuan itu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan hasil seni Fariza mendapat perhatian pelakon itu yang menyatakan kesudian membeli potret dihasilkannya, baru-baru ini.

Tawaran itu disampaikan Ben menerusi Twitter kepada adik Fariza, Ahmad Faiz yang berkongsi lukisan berkenaan pada 7 November lalu.

Fariza mengakui terkejut apabila mengetahui Ben mahu membeli lukisan berkenaan kerana menyangka pelakon itu tidak perasan naskhah istimewa terbabit.

Berita berkaitan

Untukmu Ben Amir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 12:13 PM