DONG Wook
Georgie Joseph


ANNYEONGHASEYO! Bergelar pelakon selama lebih dua dekad, Lee Dong Wook memiliki reputasi mengagumkan.

Pelbagai watak lakonannya berjaya meninggalkan impak luar biasa.

Memiliki paras rupa tampan, kejayaan cemerlang sebagai pelakon lebih menjadi perbualan. Disebabkan itulah dia terus menjadi buruan ramai penerbit dan pengarah untuk mengambilnya berlakon.

Selepas kerap membawa watak baik, Dong Wook kembali mencuri perhatian menerusi watak psiko dalam siri popular Strangers from Hell. Ia sekali gus membawa corak lakonannya ke dimensi berbeza.

Bagaimanapun, Dong Wook tidak pernah rasa dia cukup bagus dan mengakui sentiasa ada kekurangan.

“Tahap kepuasan peribadi saya secara praktikalnya sama saja. Walaupun siri itu sangat berjaya, saya rasa masih banyak kekurangan dari segi lakonan.

“Dalam Strangers from Hell, pengarah terpaksa bertahan terhadap persembahan saya dan setiap kali goyah, dia berjaya membimbing dengan baik.

“Walaupun dipuji menerusi lakonan, saya cuma menyumbang 50 peratus manakala produksi yang beri 90 hingga 100 peratus,” katanya.

Sudah menjadi kebiasaan apabila penonton mahu mengikuti sesuatu drama bersiri disebabkan ada pelakon kegilaan mereka. Dong Wook juga sentiasa dipuji kerana ketampanannya.

Namun, dalam Strangers from Hell dia lebih mencuri perhatian disebabkan lakonan berkesan dan bukan sekadar menjual wajah.

Dia sendiri tidak menyangka menerima pujian sebegitu yang dianggap satu penghormatan.

“Setakat ini, saya jarang mendapat pujian sebegitu. Saya percaya ia pilihan terbaik untuk sentiasa mencuba pelbagai genre cerita contohnya pembabitan dalam Life dan Strangers from Hell.

“Saya jangka penonton mungkin tidak mengharap lebih dan selepas menontonnya, lakonan saya lebih baik daripada dijangka. Setiap kali ditanya saya mahu jadi pelakon yang bagaimana, jawapan saya adalah seorang pelakon yang orang ramai percaya,” katanya.

Pelakon terbabit juga bersyukur dia tidak pernah menimbulkan kebencian keterlaluan dalam kalangan peminat. Dia lebih suka mengambil pendekatan menangani setiap perkara negatif yang terpalit terhadapnya.

“Saya tidak pernah dibenci secara keterlaluan atau lalui kenaikan mahupun kejatuhan yang luar biasa. Bagaimanapun, saya sudah terdedah kepada orang awam selama lebih 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:00 AM