DARI kiri: Mamat, Jamal dan Man Bai menghiburkan tetamu pada majlis Makan Malam Amal Pengasih @ Cinta Manis.
Oleh Syanty Octavia Amry


BAGAIKAN dinanti kehadirannya pada malam itu, persembahan Datuk Jamal Abdillah pada majlis Makan Malam Amal Pengasih @ Cinta Manis di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini meninggalkan 1,001 kenangan manis buat semua.

Majlis diadakan bertujuan mengumpul dana untuk membina penempatan baharu Pengasih di Bentong, Pahang.

Jamal hadir mempersembahkan lagu popularnya termasuk Aku Penghibur, Penghujung Rindu, Kau Lupa Janji dan Seniman Menangis.

Tidak ketinggalan kehadiran Mamat Exists yang turut berduet dengan Jamal menyampaikan lagu Kepadamu Kekasih dan lagu popularnya, Untukmu Ibu.

Selain Jamal dan Mamat, turut menghiburkan tetamu ialah Man Bai yang mempersembahkan beberapa lagu seperti Masih Aku Terasa, Widuri, Killer Somebody dan Kau Ilhamku.

Ternyata persembahan masing-masing memeriahkan suasana yang pada awal sedikit suram sehinggakan penonton tidak mahu berganjak dari meja masing-masing.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga penaung Malam Amal Pengasih merasmikan majlis dan Pengetua Pengasih, Ramli Abdul Samad.

Sementara itu, bangunan Pengasih yang masih dalam pembinaan memerlukan dana RM4 juta bagi membina kemudahan seperti surau, dewan, klinik kesihatan dan kelengkapan lain.

Pada malam berkenaan, Pengasih berjaya mengumpul RM250,000 dan memerlukan lebih banyak peruntukan.

Dalam pada itu, Man Bai ketika ditemui berkata, kehadirannya pada malam itu sebagai tanda sokongan terhadap Pengasih yang dilihat banyak membantu golongan yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

“Ini kali pertama saya terbabit menjayakan persembahan bersama Pengasih. Ia tanda sokongan terhadap golongan yang sering dianggap sebagai penjenayah.

“Saya berharap masyarakat membuka mata dengan memberikan sokongan dan bantuan kepada mereka dengan menyarankan pusat pemulihan dan bukannya menghantar mereka ke penjara.

“Begitu juga dengan mana-mana artis yang berhasrat memulihkan diri mereka daripada najis dadah datanglah ke Pengasih kerana di sini lebih teratur dan terjaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:10 AM