SHIRA menerima dengan hati terbuka keputusan UPSR anaknya, Airra yang mendapat 2A. FOTO Ihsan Sharifah Shahira
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah menerima dengan hati terbuka keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anaknya, Airra Zulkifili yang mendapat 2A, 1B, 2C, 1D.

Shahirah, 45, atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata, dia berkongsi perkara itu di Instagram kerana tidak mahu menjawab pertanyaan berterusan daripada orang sekeliling.

"Saya ambil pendekatan untuk beritahu terus. Senang dan tak perlu nak jawab banyak kali. Orang kita kalau tahu ada anak yang ambil peperiksaan besar, mesti nak ambil tahu. Selagi tak jawab, memang tak berhenti bertanya.

"Jadi, ini cara saya. Bagi saya, tidak ada apa yang perlu dirahsiakan. Malah, tidak salah pun kalau kita berkongsi meskipun keputusan ini tidak cemerlang seperti anak artis lain.

"Sebagai ibu, saya tetap bangga dengan anak. Saya tak marahkan dia. Saya positif dengan keputusan ini. Saya tahu dia sudah berusaha dan ini adalah hasil serta rezeki yang diberikan," katanya kepada Harian Metro.

Airra yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati mendapat A dalam kedua-dua mata pelajaran Bahasa Inggeris, B (Matematik), C (Bahasa Malaysia) dan D (Sains).

"Syukur ada juga A yang dia dapat. Dulu saya semua B. Cikgu memaklumkan, anak saya masih lulus sebab Bahasa Melayu pun lulus.

"Apa yang penting, saya pesan pada anak jadilah manusia yang berguna pada kedua ibu bapa dan semua orang. Jangan sesekali menyakiti hati sesiapa. Dengar cakap saya.

"Tak kisah kerja dalam bidang apa sekali pun dan gaji kecil, saya mahu anak hidup dalam persekitaran positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 3:50 PM