NORMAH mempersoalkan pelakon muda bagaimana hendak menzahirkan watak tua dari segi nada suara. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Oleh Rudy Imran Shamsudin


PELAKON berpengalaman, Normah Damanhuri menyokong kenyataan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac yang melarang pelakon muda mengenakan solekan watak orang tua mulai 1 Januari 2020.

Ini kerana menerusi pengalamannya, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 1998/99 menerusi filem Jogho itu menegaskan bahawa watak tua bukan terletak pada solekan semata-mata.

Katanya, tidak dinafikan industri hiburan mempunyai ramai pelakon muda berbakat mampu menjayakan watak orang tua, namun sejauh manakah persembahan mereka meyakinkan dari sudut fizikal dan suara.

“Bagaimana mereka hendak menzahirkan dari segi nada suara? Ini kerana orang tua dengan muda nada suara berbeza. Ini tidak termasuk dari sudut fizikal dan bentuk tubuh.

“Sebenarnya, perkara ini bukan saja membabitkan pelakon muda jadi tua. Ia sama juga apabila pelakon berusia 30-an diberikan watak menjadi budak sekolah,” katanya sewaktu ditemui di majlis pratonton drama Nenek Aku Instafamous anjuran Unit Drama RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur, hari ini.

Kenyataan dikeluarkan Hans semalam mendapat tentangan beberapa penggiat seni dan paling lantang bersuara adalah penerbit dan pengarah, Michael Ang.

Tegas Michael di laman sosialnya semalam, ada banyak lagi pemasalahan industri yang harus diketengahkan oleh FINAS berbanding isu berkenaan.

Antaranya bayaran tinggi dikenakan pelakon popular sehingga menyebabkan perbelanjaan produksi berkurangan dan tidak mampu untuk mengambil pelakon veteran untuk menjayakan watak ibu atau nenek.

Disebabkan itu juga mereka hanya mampu membayar pelakon tambahan untuk memegang watak wanita tua selain memberikan peluang pelakon muda membawakan watak tua sekali gus menganggapnya sebagai cabaran bagi menguji kemampuan seseorang pelakon.

Menilai kenyataan diberikan Michael, kata Normah, dia tidak mahu melihat perkara itu membabitkan orang lain tapi bagi dirinya dia tidak ada masalah membabitkan soal tawaran untuk terus berkarya.

“Memang benar, ada juga penerbit dan pengarah seakan merendahkan bakat saya apabila memberikan bayaran sangat rendah.

“Tapi pada saya perkara itu mudah, saya akan memberikan alasan untuk menolak dengan cara baik,” katanya.

Katanya, setakat ini kerjaya seninya tidak berhadapan dengan sebarang masalah dan tawaran tetap diterima walaupun ada pihak cuba merendahkan kerjaya seninya dengan memberikan bayaran rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:46 PM