(DARI kiri) Salman, Dr Norzizi dan Nasir mengupas tajuk Penghargaan dan Penghormatan Kian Pudar. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PIHAK produksi di negara ini dilihat masih berada di takuk lama kerana tidak mengukur nilai seseorang pelakon senior dengan sebaiknya, sebaliknya terus mengamalkan sikap pilih kasih.

Pelakon dan pensyarah, Dr Norzizi Zulkifli, 43, berkata, amalan itu adalah penghinaan buat pelakon berpengalaman tambahan pula bayaran tidak setimpal dengan pengalaman.

Katanya, biarpun stesen televisyen masih berkeras pihak produksi terutama penulis skrip perlu berubah terlebih dahulu.

"Penulis skrip seharusnya memperbanyakkan watak lakonan dan memberi peluang kepada pelakon veteran untuk berlakon.

“Berbeza di Hollywood, mereka tidak mengutamakan kecantikan sebaliknya memperbanyakkan watak serta jalan cerita," katanya sebagai panel pada Kongres Sangga Artis Veteran di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, hari ini.

Kongres yang diacarakan oleh Salman al-Farisi turut menjemput seorang lagi panel, Nasir Bilal Khan dengan kupasan tajuk Penghargaan dan Penghormatan Kian Pudar.

Menurut Dr Norzizi, pelakon di negara ini melalui beberapa fasa iaitu membina nama, solid time (masa padat), kemuncak dan death time (masa kejatuhan).

"Saya melihat Mira Filzah kini meniti waktu kemuncak dan akan berdepan fasa seterusnya. Kita tidak sama dengan Hollywood, kerana pelakon di sana makin tua semakin mahal dan oleh itu industri ini perlu berubah," katanya.

Ketika ditanya pengacara mengenai pelakon di Malaysia yang tiada tawaran lakonan akan tertekan dan sakit, beliau bersetuju.

"Pemikiran saya, itulah masalahnya dan seniman akan sakit dengan jiwa yang lara. Ada dakwaan mengatakan drama Melayu seperti sampah, semuanya kerana tiada pengalaman dan pilih kasih," katanya.

Dalam kupasan berhubung nasib pelakon, Jalil Hamid yang dibayar RM1,500 untuk 15 babak lakonan baru-baru ini, katanya, ia tidak sepatutnya terjadi.

"Sewajarnya banyak berpengalaman makin mahal atau setimpal. Masalah ini terjadi kerana pengarah produksi tidak ukur nilai pengalaman dan bagaimana mahu mendidik generasi baharu," katanya.

Beliau memberi cadangan supaya FINAS atau persatuan artis menetapkan harga pasaran untuk pelakon berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 6:01 PM