DOUGLAS nak buat lawak, tapi orang tak tawarkan kerja. FOTO Asyraf Hamzah
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan pelawak, Douglas Lim, 42, menafikan dia adalah pelawak yang terlalu eksklusif dan memilih tawaran, sekali gus membuatkannya jarang tampil membuat persembahan di kaca televisyen.

Menurutnya, ada sesetengah pihak yang membuat andaian bahawa harga diletakkan terlalu mahal sehingga membuatkan mereka takut untuk menawarkan persembahan.

"Bukan eksklusif, tapi tak laku. Saya nak buat lawak, tapi orang tak tawarkan kerja. Sebelum orang panggil, kebanyakannya sudah membuat andaian bahawa saya akan tolak dan meletakkan harga yang mahal," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, itu mungkin berlaku kerana dia jarang tampil membuat persembahan yang sesuai untuk semua peringkat penonton.

"Mungkin lawak yang saya buat tak sesuai dengan semua peringkat usia dan latar belakang penonton. Jadi, kerana itulah saya tak banyak ditawarkan persembahan," katanya.

Terbaru, Douglas muncul dengan program sitkom, Kopitiam: Double Shot yang diwujudkan semula selepas 15 tahun tidak bersiaran. Selain itu, dia juga bakal membintangi filem berbahasa Melayu.

"Untuk menerima tawaran filem ini, ada beberapa pengorbanan yang saya lakukan antaranya terpaksa tolak beberapa tawaran lain dan juga mengempiskan perut bagi disesuaikan dengan karakter.

"Mengenai judul filem dan siapa lagi pelakon lain yang terbabit, itu masih lagi dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 6:10 PM