ANTARA babak membabitkan Ebi dan Tya.
Oleh Najiy Jefri


WALAUPUN filem bertema penyiasatan digemari penonton Malaysia, jarang filem tempatan mengetengahkan tema sedemikian.

Menyedari hakikat itu, syarikat produksi Wallworld Pictures Sdn Bhd mengambil inisiatif dengan menghasilkan filem berjudul M.O.X - Misi Operasi X.

Pengarahnya, Datuk Zulkiflie M Osman berkata, filem terbaharu arahannya itu dibuat berdasarkan kajian yang dilakukannya sebelum ini.

“Saya pernah membuat kajian mengenai bencana akhir zaman yang berpunca daripada senjata rahsia ciptaan manusia. Kemudian ia memberi idea kepada saya untuk menghasilkan filem berdasarkan kajian yang dibuat, tetapi diselitkan elemen komersial,” katanya.

Menurut Zulkiflie, sesuatu yang menarik mengenai penghasilan filem ini ialah penghasilan skrip saja mengambil masa enam tahun.


RADHI (kanan) turut berlakon.

Menurul Zulkiflie, ia mengambil masa agak lama kerana mahu memastikan semua fakta dan landasan mesej yang ingin disampaikan tidak lari daripada objektif sebenar walaupun diolah kepada filem komersial.

Filem ke-15 arahan Zulkiflie ini menampilkan lakonan Ebi Kornelis, Zaidi Omar, Radhi Khalid, Shareeta Selvaraj, Adam Shahz dan pelakon Indonesia, Tya Arifin.

Mengenai pemilihan pelakon pula, Zulkiflie menyatakan setiap pelakon dipilih berdasarkan kesesuaian watak yang ditampilkan.

“Pemilihan mengikut kesesuaian watak seperti Ebi Kornalis yang bertubuh tegap manakala Tya pula penyiasat dari Indonesia dan Shareeta anak seorang profesor dari India yang berpendidikan tinggi,” katanya yang sebelum ini dikenali dengan filem arahannya seperti Mira Edora, Kekasih Awal dan Akhir, Putera, Cinta Metropolitan dan Diari Romeo.

Sementara itu, Ebi yang membawa watak Don Pedro menyatakan tiada masalah untuk dia bekerjasama dengan Zulkiflie kerana sudah beberapa kali bekerja di bawah arahan pengarah itu.

Katanya, dia pernah ditawarkan berlakon dalam sebuah filem lain untuk melakonkan beberapa babak, namun lebih tertarik membintangi M.O.X kerana diberi watak utama.

“Selain selesa bekerja di bawah arahan beliau, saya tertarik dengan skripnya yang menggabungkan beberapa elemen seperti aksi, penyiasatan dan patriotik.

“Pada masa sama, saya bersyukur kerana dapat tawaran untuk filem ini dan anggap ia peluang keemasan untuk mengembangkan bakat dalam bidang lakonan,” katanya.

Mengenai cabaran sepanjang pembabitannya dalam filem ini, Ebi memberitahu antaranya dia perlu menurunkan berat badan sebanyak 14 kilogram dalam masa sebulan.

Katanya, untuk menjayakan watak sebagai Don Pedro, dia perlu sentiasa menjaga stamina kerana banyak melakukan aksi stunt sendiri.

Bagi Tya, wataknya adalah sebagai Fifi yang juga kekasih Don Pedro.

“Saya menerima tawaran berlakon dalam filem ini kerana belum pernah membawakan watak ejen perisik.

“Mendapat peluang berlakon di bawah arahan Zulkeflie adalah peluang terbaik memandangkan beliau pengarah yang cukup berpengalaman.

“Malah, beliau juga banyak memberi saya ruang untuk mengembangkan watak Fifi dan penonton akan dapat lihat kelainan yang saya tampilkan dalam filem ini,” katanya.

Menurutnya, M.O.X - Misi Operasi X juga adalah filem pertama lakonannya selepas bertapak di Malaysia empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:00 AM