WAWA akui Lagu Kembalilah Bersamanya dekat dengan diri.
Oleh Ardini Sophia Sina


PENGGEMAR aplikasi Tik Tok mungkin mengenali gadis berusia 21 tahun ini.

Bagaimanapun, dalam dunia seni suara, Ai Wahida adalah pendatang baharu yang sedang membina nama.

Tampil dengan lagu berjudul Kembalilah Bersamanya, katanya, lagu yang mengisahkan kekasih curang itu dekat dengan dirinya kerana pernah mengalami pengalaman sama.

“Lagu itu dicipta Denis Chairis. Ia mengisahkan seorang lelaki yang mempunyai kekasih baharu, tetapi kembali menjalin hubungan dengan bekas kekasih.

“Saya pernah mengalami hal serupa, jadi memang boleh menjiwai lagu itu dengan baik. Bagaimanapun, ia bukanlah dicipta khas untuk saya. Cerita dalam lagu itu kebetulan sama seperti apa yang pernah saya alami,” katanya.

Meminati dunia seni sejak berusia 13 tahun, gadis yang mesra disapa Wawa ini sama sekali tidak menyangka akhirnya dapat mencapai impian itu.

Wawa mengakui, populariti yang dikecapi menerusi aplikasi Tik Tok sedikit sebanyak membantu melancarkan proses untuk mendirikan asas dalam bidang nyanyian.

“Saya akui, populariti daripada aplikasi berkenaan membantu mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian. Bagaimanapun, media sosial saja tidak cukup jika seseorang itu serius untuk menjadikan nyanyian sebagai kerjaya.

“Sejak dulu saya memasang impian untuk menjadi seperti Najwa Latiff. Apabila syarikat rakaman Rusa Music menyatakan hasrat menjadikan saya artis rakaman mereka, saya terus terima kerana ia peluang keemasan,” katanya.

Tidak sekadar aktif di Tik Tok, Wawa juga pemenang pertandingan kategori muzik anjuran Tik Tok dan berpeluang ke Korea Selatan dan Beijing, China menghadiri festival Tik Tok yang mengumpulkan pemenang dari seluruh dunia.

Wawa juga menyedari mana-mana individu yang aktif dengan Tik Tok dilemparkan stigma negatif oleh sesetengah masyarakat.

Bagi Wawa, setiap pengguna perlu sedar tanggungjawab menggunakan aplikasi itu dengan baik.

“Saya pernah diugut seorang individu. Katanya jika saya tidak padamkan aplikasi itu dia akan cari dan bunuh saya. Memang ramai yang menganggap Tik Tok ini membawa keburukan.

“Pada saya, setiap aplikasi jika tidak digunakan dengan baik boleh memudaratkan. Tidak kiralah Twitter, Facebook atau Instagram, jika disalah guna pun akan memberikan kesan buruk.

“Macam saya pun, keluarga ada akaun Tik Tok dan ‘follow’ saya supaya dapat memantau setiap perkongsian yang dibuat. Semuanya bermula daripada diri sendiri bagaimana cara kita gunakan aplikasi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:10 AM