ARRORA
Oleh Syafil Syazwan Jefri


BAGI pengikut setia industri muzik tanah air, tentunya masih mengingati kemerduan suara penyanyi bernama Arrora Salwa yang mula dikenali menerusi single sulungnya berjudul Ahmad pada 2010.

Kini, penyanyi yang juga pramugari itu membuat kemunculan semula selepas kali terakhir muncul dengan single pada 2015. Kali ini, Arrora hadir memperkenalkan buah tangan terbaharunya berjudul Fitnah.

Masih mendapat sentuhan daripada komposer asal Indonesia, Panji Sakti, lirik lagu itu ditulis oleh penulis lirik, Tayam92.

“Selepas Ahmad, saya pernah keluarkan beberapa single lain iaitu Kau Tak Menarik Lagi dan kemudian, Hidup Baru pada 2015. Itu adalah single terakhir saya sebelum berehat daripada industri.

“Pada 2016, saya mula bertugas sebagai pramugari, sekarang berehat seketika daripada tugasan dan ingin fokuskan kembali kepada muzik serta keluarga,” katanya.

Ditanya mengenai kisah di sebalik penghasilan lagu Fitnah itu, Arrora mengakui ia diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya yang tersendiri.

“Idea lagu ini terhasil daripada apa yang berlaku di sekeliling saya. Fitnah ini boleh menjadikan seseorang kuat, tapi sekiranya mangsa fitnah itu tidak kuat, ia boleh menyebabkan dia jatuh dan melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

“Jadi, saya mengajak pendengar jadi kuat berdepan dengan fitnah dan bangkit melawan. Jangan jadi lemah,” katanya.

Pernah menukar namanya kepada Salwa Razak, Arrora kini selesa untuk kembali menggunakan nama Arrora.

“Pada 2016, saya terfikir lagu Ahmad ini sudah cukup dikenali dan orang kenal lagu ini dengan nama penyanyinya, Arrora. Jadi, saya buat keputusan kembali menggunakan nama Arrora Salwa,” katanya.

Fitnah dirakamkan di Bandung, Indonesia dan proses rakaman hanya memakan masa selama sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 5:10 AM