X
JUREY bersama ahli jawatankusa PTVM ketika mengadakan perjumpaan dengan Dr Mahathir baru-baru ini. FOTO Facebook Jurey Latiff Rosli
JUREY bersama ahli jawatankusa PTVM ketika mengadakan perjumpaan dengan Dr Mahathir baru-baru ini. FOTO Facebook Jurey Latiff Rosli
Sudirman Mohd Tahir


PRESIDEN, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli menegaskan pihaknya sudah banyak memperjuangkan kebajikan ahli dan kemajuan industri penerbitan tempatan.

Jurey berkata, pihaknya tidak pernah berhenti berusaha ke arah penyelesaian beberapa isu yang diperjuangkan sejak penubuhan PTVM pada 2008.

“Antaranya adalah kadar bayaran, isu harta intelek (IP), pembiayaan produksi termasuk isu patuh syariah, bajet tahunan negara, kebajikan warga penerbitan, peranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pengeluaran lesen FINAS yang tidak terkawal dan sebagainya.

“Pelbagai usaha juga dilakukan sejak dulu lagi dan tahun ini usaha ke arah penyelesaian isu yang diperjuangkan lebih digiatkan lagi selepas Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga penaung PTVM kembali menjadi Perdana Menteri.

“Malah, kami juga sudah mengadakan pertemuan pada Februari lalu dengan Tun bersama empat kementerian lain iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama),” katanya.

Menurut Jurey, hasil daripada pertemuan itu pihaknya sudah melakukan pelbagai tindakan susulan dengan mengadakan perbincangan di pelbagai peringkat termasuk bersama RTM, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Katanya, selepas ini pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad dan berbincang hal sama.

“Terkini, ada perkembangan positif mengenai kadar bayaran RTM terhadap program kandungan kreatif swasta. Minggu ini saja Menteri KKMM mencadangkan di Parlimen supaya kadar bayaran oleh RTM untuk kandungan kreatif dinaikkan antara 20 hingga 50 peratus mengikut kategori yang kini hanya menunggu kelulusan dewan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memperjuangkan hal sama termasuk RTM, persatuan lain seperti Penerbit Filem Malaysia (PFM), Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) dan sebagainya.

“Semoga dengan kadar baru yang akan dilaksanakan ini bakal merubah sedikit sebanyak landskap industri penerbitan televisyen dan memberikan sinar baru kepada semua penerbit lebih-lebih lagi kepada ahli PTVM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 6:56 PM
Digital NSTP Subscribe