Syafil Syazwan Jefri


APABILA disebut Frozen, tentu ramai membayangkan watak Elsa yang menjadi fenomena di seluruh dunia ketika filem animasi itu kali pertama ditayangkan pada 2013.

Bukan saja filem, Frozen sudah menjadi jenama dengan pelbagai jenis produk merangkumi pakaian, makanan dan lagu yang mengisi filem itu turut terkena tempias populariti.

Terbaru, Walt Disney membawakan Frozen 2 yang mula ditayangkan di seluruh negara pada 21 November lalu.

Reaksi yang diberikan penonton mengenai filem animasi ini bercampur baur.


Ada yang memuji, tak kurang juga yang melemparkan kritikan negatif untuk filem yang mengisahkan mengenai dua beradik Elsa dan Anna ini.

Sejujurnya, Frozen 2 lebih matang dalam garapan jalan ceritanya jika dibandingkan dengan filem pertama. Mungkin untuk disesuaikan dengan watak Elsa yang kini bergelar Ratu Arendelle.

Perkembangan wataknya juga memuaskan apabila penonton dapat melihat bagaimana watak utama Elsa dan Anna dikembangkan dengan baik.


Kesinambungan antara satu babak ke satu babak juga tidak terlalu perlahan dan membosankan. Pengarah Chris Buck dan Jennifer Lee berjaya membuatkan penonton ternanti-nanti apa akan berlaku dalam babak seterusnya.

Dari segi grafik, rata-rata memuji hasil akhir Frozen 2 yang sangat teliti penghasilannya contohnya setiap helaian rambut, setiap cantuman benang pada kostum watak dan banyak lagi.

Selain perjalanan cerita dan perkembangan watak, Frozen 2 sekali lagi menyajikan lagu yang enak didengar sekali gus membuai penonton sepanjang durasi 103 minit filem ini ditayangkan.


Antara lagu yang mencuri perhatian tentunya lagu utama nyanyian Idina Menzel berjudul Into The Unknown, menampilkan penyanyi dari Norway, Aurora Aksnes.

Lagu yang sama juga dihasilkan dalam dua versi dengan susunan muzik berbeza dan disampaikan oleh Panic! at the Disco.

Di stesen radio tempatan juga, lagu OST daripada Frozen 2 nampaknya sudah mula berkumandang dan mendapat tempat di hati peminat filem animasi.

Tak mustahil jenama Frozen akan terus kekal di hati peminat terutama kanak-kanak di seluruh dunia.

Di Malaysia, Frozen 2 masih lagi mengungguli carta filem walaupun sudah masuk minggu kedua ia ditayangkan.

FILEM: Frozen 2

ARAHAN: Chris Buck & Jennifer Lee

PELAKON: Idina Menzel, Kristen Bell, Jonathan Groff dan Josh Gad

GENRE: Animasi, komedi dan pengembaraan

TAYANGAN: 21 November 2019

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:01 AM