AZMEER sedih kerana juri terpaksa potong markah apabila penyanyi membuat kesilapan. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


BIARPUN tidak menampilkan penyanyi asal dalam saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (SFMM34), lagu Anta Permana dan Ragaman menepati ramalan ramai apabila layak ke Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).

Dalam persembahan SFMM34 yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu, lagu Anta Permana nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza disampaikan oleh Bob Yusof manakala lagu Ragaman dendangan Faizal Tahir digantikan oleh Fairuz Misran.

Situasi itu bukan sesuatu yang pelik kerana sudah beberapa kali lagu yang layak ke AJL sebelum ini dinyanyikan oleh penyanyi gantian.

Ketua juri SFMM34, Azmeer berkata, juri atau pihak produksi tidak ada bantahan dan kalau mereka ingin menggunakan penyanyi lain sekali pun pada AJL nanti, pihaknya tidak kisah.

Katanya, ia bergantung sepenuhnya kepada komposer dan asasnya mereka berbalik kepada penilaian terhadap lagu dan lirik.

“Semua tahu, 80 peratus markah sudah diberikan. Manakala 20 peratus lagi membabitkan persembahan dan nyanyian pada separuh akhir.

“Walaupun 20 nampak sikit, tapi ia boleh mempengaruhi. Sebab itu saya harap penyanyi jangan kecewakan komposer.

“Kasihan komposer buat lagu sedap. Tapi apabila menyanyi tak sampai. Penjiwaan tak sampai, sumbang dan sebagainya. Jangan bagi alasan ‘ear monitor’ tak dengar dan macam-macam lagi,” katanya.

Malah, Azmeer mengakui sepanjang tiga minggu peringkat separuh akhir, berlaku penyanyi tidak memberikan persembahan terbaik.

“Selama tiga minggu ada. Itu yang saya agak sedih kerana saya bersimpati pada komposer. Ini AJL, tapi akhirnya kita terpaksa potong markah kerana penyanyi membuat kesilapan.

“Jadi, untuk menjadi profesional sama ada penyanyi baru atau lama, melainkan sakit, sila beri keadilan pada lagu itu. Ini supaya lagu itu boleh melangkah ke akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:45 PM