KUGIRAN Masdo menyampaikan lagu Dinda dalam saingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 34. FOTO Faiz Anuar
Sudirman Mohd Tahir


PEMILIHAN lagu Dinda nyanyian Kugiran Masdo yang diumumkan layak ke Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34) menimbulkan perdebatan banyak pihak.

Ada beranggapan lagu itu agak ketinggalan dari segi muzik atau dalam erti kata lain muzik lama.

Bagaimanapun, ketua juri peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM 34), Azmeer menyifatkan lagu itu ada kelebihan dari segi melodi.

“Sebenarnya, kalau kita tengok Masdo ini dia mengingatkan kita pada lagu Terukir Di Bintang, Yuna. Ia ada elemen broadway dan 50-an.

“Malah, kalau kita tengok Bruno Mars sekarang dia juga kembali kepada 70-an. Jadi, macam lagu Dinda ini, melodi sedap didengar. Bagi saya, ada bahagian pada melodi lagu ini yang mahal.

“Lagi satu, ramai menyukai lagu ini. Walaupun saya lebih kepada genre balada, tapi dengar semua jenis muzik,” katanya.

Menurutnya, Kugiran Masdo juga mempunyai kreativiti tersendiri dalam menghasilkan lagu itu.

“Bagi saya, Masdo ada kreativiti. Kreativiti mereka segar walaupun mengikut genre lama. Tapi, melodi yang dipersembahkan segar.

“‘Pakaian’ muzik tak kisah. Macam saya cakap tadi, lagu Yuna sampai menang AJL sedangkan ‘pakaian’ muzik dia 50-an. Tapi, kreativiti sangat penting.

“Jadi, Masdo satu kejayaan mereka selain boleh menawan peminat, juga berjaya menawan tujuh juri yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:57 PM