TAUFIQ seronok bekerjasama dengan pelakon profesional biarpun kali pertama berlakon teater.
Ardini Sophia Sina


PELAKON, Taufiq Hanafi mengakui berasa 'seram' menjayakan pementasan teater Siapa Tuan? Err... Mat Janggut, Mat Misai? kerana hanya menjalani sesi latihan dalam tempoh singkat sebelum membuat persembahan.

Taufiq yang dikenali dengan watak Ustaz dalam filem aksi Paskal itu berkata, dia membawakan watak sebagai Haji Mat Derani selepas pelakon asal menarik diri pada saat akhir.

"Sesiapa saja pun pasti rasa 'seram' kalau hanya sempat berlatih selama tiga jam sebelum membuat persembahan. Kena hafal skrip dan 'serap' karakter dalam diri.

"Pelakon asal tarik diri pada saat akhir atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Itu yang menyebabkan saya ditawarkan untuk membawakan watak Haji Mat Derani, seorang penggali kubur yang peramah," katanya.

Pementasan teater Siapa Tuan? Err... Mat Janggut, Mat Misai? itu berlangsung di Dewan Masjid Abdul Rahman bin Auf, Kuala Lumpur, semalam.

Taufiq berkata, walaupun mempunyai pengalaman di pentas teater sebelum ini tetapi ini kali pertama graduan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu mencabar diri untuk menguji keupayaan sebenar sebagai pelakon.

Katanya, walaupun situasi itu perkara biasa dalam dunia lakonan televisyen dan filem, di pentas teater adalah jauh berbeza.

"Teater memerlukan pelakon menghafal skrip yang mempunyai dialog panjang tanpa berhenti berbanding lakon televisyen dan filem yang mempunyai tempoh rehat dari babak ke babak.

"Tapi persembahan teater ini sangat seronok sebab bekerja dengan barisan pelakon yang profesional, jadi sangat senang bekerja," katanya yang bakal muncul dalam teater muzikal di Istana Budaya pada Januari 2020.

Selain itu, dia juga sedang mempersiapkan diri untuk dua tawaran filem baru genre aksi komedi dan aksi drama selain program travelog serta drama televisyen pada tahun depan.

Pementasan teater Siapa Tuan? Err... Mat Janggut, Mat Misai? arahan Endy Ashari turut dijayakan pelakon baru, Said Ismail dan Ewan Mohamad adalah karya agung Sasterawan Negara, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau dikenali sebagai Kemala.

Teater terbitan Zeel Production itu akan dipentaskan semula di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam jam 8.30 malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 6:32 PM