Sudirman Mohd Tahir


“KITA dah nak masuk 2020. Jadi kami tak nak fikir ke belakang, tapi nak menjadi lebih baik untuk masa depan.

“Kita manusia biasa yang melalukan kesilapan. Daripada kesilapan itu kita menjadi lebih cerdik dan pandai,” kata pelakon Fauzi Nawawi mengenai pertemuannya dengan pelakon, Rita Rudaini yang turut disertai isterinya, Lisdawati.

Suatu ketika dahulu, Rita dan Lisdawati pernah bergaduh di lokasi penggambaran hingga masing-masing membuat laporan polis.

Pergaduhan dalam kolam renang itu berlanjutan daripada babak pergaduhan sebenar dalam drama Kau Yang Ku Sayang pada 2006.

Fauzi berkata, perkara lalu biar berlalu apatah lagi masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri.

“Sebelum ini setiap kali jumpa Rita akan tegur dan salam. Cuma berjumpa bertiga jarang ada peluang untuk bersembang.

“Tapi, pada program ini kami dapat berjumpa. Kami pun tidak fikir perkara lalu. Biarlah ia berlalu.

“Kalau dapat tawaran berlakon bertiga bersama pun tak ada masalah. Tidak ada syarat untuk kami berlakon bersama. Cuma, bayar kena lebih sikit,” katanya.

Mereka bertiga hadir pada program Melodi Salute! yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 9:35 PM
PELAKON Rita Rudaini, Fauzi Nawawi dan Lisdawati hadir pada sambutan Melodi Salute! dalam menyambut usia Melodi yang ke-30 sebagai program hiburan sensasi di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur. FOTO Aziah Azmee