SINGLE terbaharu mengingatkan pendengar kepada lagu seperti Despacito.
Syafil Syazwan Jefri


AFIEQ Shazwan kini hadir dengan single baharu berjudul Lelaki Di Telefon hasil ciptaan DJ Fuzz dan Aziquebeats.

Secara ringkasnya, ia lari sedikit daripada muzik yang biasa dibawakan Afieq sebelum ini.

Dari segi muzik, Lelaki Di Telefon adalah karya bergenre reggaeton dan pop Latin. Secara tak langsung, lagu baharu ini mengingatkan kepada lagu seperti Despacito.

Tak dapat dinafikan, lagu daripada genre ini tidak akan lari jauh dan akan kedengaran mempunyai persamaan antara satu sama lain.

Apa yang membezakannya hanyalah bagaimana melodi yang diulit oleh sang penyanyi. Jadi, tak banyak yang perlu diperkatakan mengenai susunan muziknya.

Dari segi lirik, Lelaki Di Telefon berkisar mengenai percintaan apabila karakter seorang lelaki, tertanya-tanya mengenai kewujudan orang ketiga dalam kisah cinta antara dia dan kekasihnya.

Lagu ini juga menunjukkan karakter wanita itu berlaku curang kepada kekasihnya, sekali gus ‘kantoi’ dan rahsia kotornya diketahui sang kekasih.

Lelaki Di Telefon juga hadir dengan video muzik yang patut diberikan pujian kerana tidak kelihatan tipikal seperti video muzik lagu tempatan yang lain.

Di YouTube, Lelaki Di Telefon yang dilancarkan pada 28 November lalu sudah ditonton hampir 120,000 tontonan.

Lagu: Lelaki Di Telefon

Penyanyi: Afieq Shazwan feat Malik Abdullah

Komposer: DJ Fuzz & Aziquebeats

Lirik: W.A.R.I.S/Mambang

Terbitan & edaran: FMC Music Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 5:10 AM