LINDA memerlukan kira-kira RM150 setiap kali Haziq menjalani fisioterapi. FOTO Ihsan Linda Eva
Norhayati Nordin


PENYANYI, Linda Eva, 42, tidak putus berusaha mengumpul wang untuk menampung kos rawatan fisioterapi anaknya, penyanyi, Haziq Hasbullah, 19.

Linda berkata, dengan melakukan rawatan fisioterapi ia dapat membantu anak lelaki tunggalnya itu berjalan semula.

"Dalam keadaan Haziq sekarang, sebagai ibu saya tidak boleh lemah dan kena kuat untuk memberinya semangat.

"Apapun, keadaan kaki kanan Haziq semakin menunjukkan pemulihan positif dan kini dia hanya perlu menjalani fisioterapi.

"Saya juga menemukan pusat rawatan fisioterapi sesuai untuk Haziq di Subang Jaya dan bercadang menghantarnya segera," katanya.

Katanya, memandangkan sudah lima bulan Haziq tidak berjalan selepas terbabit kemalangan motosikal pada 5 Julai lalu, kaki anaknya memang lemah.

"Setakat ini, luka dialami Haziq di belakang lututnya makin baik, cuma tapak kaki dan tiga jari kaki masih perlukan masa untuk pulih.

"Tujuan saya nak membawa Haziq menjalani rawatan fisioterapi ini untuk membantu kekuatan kakinya berjalan semula dan selepas itu dia boleh aktif menyanyi.

"Namun, kos diperlukan untuk fisioterapi ini kira-kira RM150 setiap kali rawatan dan saya harus mengumpul duit," katanya.

Sehubungan itu, Linda dengan kerjasama beberapa penyanyi baru dari syarikat Awal Music akan terbabit menjayakan Program Persembahan Amal Haziq di Mega Fest Havoc 2019.

Acara itu dijangka berlangsung pada 6 Disember ini di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Antara barisan penyanyi baru yang turut serta ialah Heedan Mohd, Darling, Syazwan, Ashraf dan Naja Bollywood.

Mengulas dirinya yang mungkin dilabel selesa 'menagih simpati', Linda berkata, apa yang penting dia berusaha.

"Saya memang memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos rawatan kaki Haziq supaya dia dapat berjalan semula.

"Apatah lagi, ada pihak berminat untuk bekerjasama membantu menjayakan persembahan amal buat Haziq, jadi saya harus ambil peluang ini," katanya.

Linda berharap, Program Persembahan Amal Haziq di Mega Fest Havoc 2019 itu mendapat sambutan baik penonton yang sudi menghulur sumbangan.

Untuk rekod, Haziq yang juga bekas vokalis Putera Band mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur itu kerana salur darah pada kaki kanannya putus.

Kecederaan berkenaan juga membuatkan doktor pernah mengesyorkan kaki kanan Haziq itu dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 4:33 PM