IKHWAN sudah melancarkan 57 karya yang dinyanyikan sendiri dan juga beberapa artis lain sejak dua tahun lalu. FOTO Saifullizan Tamadi
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan komposer, Ikhwan Fatanna akan tetap mengekalkan harga sama untuk karya yang dihasilkannya seperti mana sebelum ini walaupun sudah dua tahun lagu ciptaannya berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

Ikhwan ketika ditemui berkata, selagi karya ciptaannya diterima dengan baik, dia terbuka untuk terus bekerjasama dengan sesiapa saja.

"Saya rasa, harga diletakkan masih lagi masuk akal dan berbaloi. Insya-Allah, selagi ada yang sudi menerima karya ini, saya akan terus kekalkan harga sama," katanya kepada Harian Metro.

Ikhwan yang memulakan langkah sebagai penyanyi dan komposer sejak 2017 juga meletakkan sasaran untuk menerbitkan 100 karya menjelang tahun depan.

"Saya dah lancarkan 57 karya yang dinyanyikan sendiri dan juga beberapa artis lain sejak dua tahun lalu. Kalau boleh, saya sasarkan sehingga 100 karya untuk rekod peribadi sebagai penyanyi dan komposer," katanya.

Tahun lalu, lagu ciptaannya, Jatuh Bangun nyanyian Haqiem Rusli menampilkan Aman Ra berjaya beraksi di pentas AJL33, manakala tahun ini, dua karya ciptaannya iaitu Kisah Cinta Kita dan Ku Bersuara bakal berentap di pentas AJL34.

Kisah Cinta Kita nyanyian Hafiz Suip dicipta bersama Ayden Ali manakala Ku Bersuara nyanyian Ernie Zakri pula hasil kolaborasinya bersama Syamel, Omar K dan John Jeevasingham.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 4:15 PM