HIJJAZ masih mendapat tawaran menyanyi hingga kini.
Oleh Norhayati Nordin


KUMPULAN nasyid popular, Hijjaz memilih Tomok sebagai gandingan duet untuk rakaman semula lagu popular mereka, Sumayyah 2019.

Anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam berkata, rakaman versi kali ketiga lagu Sumayyah itu mendapat suntikan elemen rock.

“Susunan muzik menjurus lebih segar sesuai dengan gabungan vokal Tomok dan Munif selaku vokalis utama Hijjaz.

“Bagaimanapun, pemilihan lagu Sumayyah dilihat tepat untuk Hijjaz rakamkan semula secara duet dengan Tomok,” katanya.

Katanya, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail juga meminati lagu Sumayyah dan turut mengesyorkan untuk projek rakaman duet berkenaan.

Mengulas pemilihan Tomok, Isman berkata, walaupun kini industri muzik tanah air didominasi penyanyi ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU), penyanyi berpengalaman seperti Tomok juga masih relevan.

TOMOK minat lagu Sumayyah.

“Kemunculan Tomok dan Hijjaz dalam kerjaya seni nyanyian sekitar 1990-an dan kerjasama ini dilihat sangat tepat.

“Apatah lagi, Tomok juga memiliki pencapaian tersendiri dalam bidang nyanyian diceburi dan bakatnya dikagumi.

“Malah, lebih memantapkan gandingan ini kerana vokal mereka yang sangat menyentuh jiwa pendengar,” katanya.

Tambahan pula, katanya, lagu Sumayyah sangat diminati pendengar kerana kekuatan melodi dan liriknya yang indah.

Selain Isman dan Munif Ahmad, Hijjaz turut dianggotai Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim.

Berbicara perkembangan terkininya, Isman berkata, walaupun Hijjaz masih aktif dalam kerjaya nyanyian, tidak salah untuk dia menceburi perniagaan.

“Alhamdulillah, untuk kerjaya nyanyian Hijjaz masih laku dan mendapat perhatian peminat.

“Hingga kini, Hijjaz masih mendapat tawaran menyanyi, tetapi pembabitan dalam perniagaan pun perlu,” katanya.

Mengulas perniagaan diusahakan, Isman berkata, dia rancak memasarkan produk Go Sambal yang sesuai untuk golongan suka melancong ke luar negara.

“Sejak empat bulan lalu, produk Go Sambal Bilis dan Go Sambal Paru mendapat sambutan baik terutama di Makkah dan Madinah.

“Ia produk makanan halal yang sesuai untuk golongan suka melancong yang sedap, selamat dimakan dan harga berpatutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:00 AM