FAROUK Roman (kiri) dan Amylea Azizan.
FAROUK Roman (kiri) dan Amylea Azizan.
Sudirman Mohd Tahir

PENCIPTA lagu yang mendapat jolokan komposer OST (lagu tema), Farouk Roman kembali mempertaruhkan empat lagu tema dalam drama Adellea Sofea yang ditayangkan di slot Akasia di TV3 bermula jam 7 petang hari ini.

Menariknya, daripada empat lagu itu, tiga adalah terbitan dan edaran Seventeen Eleven Music iaitu Bagai Lagu Indah nyanyian Adzrin Big Stage 2, Syarat Bahagia (Dinda Permata) dan Selalu Denganmu (Amylea x Kaer).

Farouk, 29, atau nama sebenarnya Mohd Farouk Abd Razak berkata, kesemua lagu itu yang turut menampilkan Amylea selaku penulis lirik berbeza daripada karya sebelum ini sekali gus memaparkan sisi berbeza Farouk untuk muzik dihasilkan.

“Kesemua lagu kali ini berbeza. Memang saya nak tukar ‘mood’ lagu agar tidak sama dengan karya terdahulu. Lagi pun, macam lagu sebelum ini kami tulis berdasarkan jalan cerita drama itu. Jadi, itu yang ‘feel’ sedih.

“Kiranya, untuk drama ini jalan ceritanya tak terlalu sedih dan ada ada elemen ‘sweet’. Jadi, saya boleh berkarya. Macam lagu lain juga, kami tulis khas untuk drama.

“Bagi drama ini, kami ambil masa dua bulan untuk menghasilkan kesemua lagu. Dapat skrip, kami baca dan teliti satu persatu jalan cerita supaya lagu kena dengan drama,” katanya kepada Harian Metro.

Bagi lagu Bagai Lagu Indah ia berentak Pop R&B, Syarat Bahagia pula Pop Balada dan Selalu Denganmu berentak R&B.

Ditanya mengenai pemilihan penyanyi, Farouk berkata ia berdasarkan kesesuaian vokal mereka.

“Pemilihan Dinda dan Adzrin sebab tahu kemampuan vokal mereka untuk lagu ini. Mereka mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri. Pada masa sama, ia dapat memberi kelainan dalam industri begitu juga dengan lagu saya.

“Amylea dan Kaer pula, kami pernah bekerjasama dalam lagu Tak Pernah Hilang yang juga lagu tema drama Nur,” katanya.

Lagu Bagai Lagu Indah akan dilancarkan hari ini, Syarat Bahagia pada 7 Disember dan Selalu Denganmu pada 8 Disember di saluran Youtube Seventeen Eleven Music serta semua platform digital.

Drama Adellea Sofea menampilkan pelakon hebat Mira Filzah, Ungku Ismail, Bella Dally dan ramai lagi.

Antara drama popular yang menggunakan khidmat Farouk adalah Nur, Nur 2 dan Cari Aku Di Syurga yang ditayangkan di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 6:44 PM