NEELOFA serasi bersama Nabil.
Rudy Imran Shamsudin


MENGUMUMKAN untuk mengundurkan diri daripada program MeleTOP yang cukup sinonim dengan dirinya adalah kejutan besar buat penonton setia program bual bicara infotainment popular disiarkan Astro Ria itu.

Ibaratnya MeleTOP adalah Neelofa dan juga pasangannya Nabil Ahmad, begitu sebaliknya. Tahun hadapan wajah Neelofa atau Lofa akan digantikan dengan pengacara baharu yang identitinya masih dirahsiakan oleh pihak produksi rancangan terbabit.

Ramai tersentuh hati apabila melihat Lofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor menitiskan air mata sewaktu mengumumkan pengundurannya menerusi program MeleTOP yang disiarkan secara langsung Selasa lalu.

Situasi itu jelas dilihat bahawa bukan mudah Lofa untuk memutuskan mahu meninggalkan MeleTOP. Apatah lagi dia sudah lapan tahun mengendalikan program itu bersama Nabil dan muncul dalam 370 episod.

Keserasian sebagai rakan pengacara bersama Nabil juga sangat sebati sehinggakan mereka akui menjadi akrab dan bersahabat kerana MeleTOP.

Kalau sudah begitu situasinya mengapa Lofa tetap mahu meninggalkan program hiburan itu sebagai pengacara? Adakah kontraknya sudah tidak disambung dan dipaksa untuk meninggalkan program itu oleh pihak produksi mahupun pengurusan Astro sendiri?

Ditemui pada majlis sidang akhbar diatur selepas pengumuman dibuat, Neelofa berkata, keputusannya itu tidak ada unsur paksaan sebaliknya ia hasil perbincangan bersama.

“Memang saya berat hati meninggalkan program MeleTOP, tetapi perlu melakukannya demi perkembangan karier, memandangkan pada tahun hadapan saya akan mengendalikan satu program baharu.

“Tidak banyak yang saya boleh kongsikan mengenai program itu nanti. Tetapi apa boleh dikatakan ia sebuah program premium apabila saya akan tampil bersama mereka yang sangat ‘prominent’ dalam bidang masing-masing.

“Memang kalau hendak difikirkan saya boleh saja mengendalikan program terbabit dan pada waktu sama mengacarakan MeleTOP. Tetapi dari sudut penjenamaan rancangan bakal diterbitkan dan disiarkan itu nanti, ia akan dilihat tidak selari dan bercanggah. Saya faham perkara itu,” katanya.

Lofa menegaskan dalam hidup, dia sedar manusia tidak akan memperoleh semua yang dimahukan. Ada perkara pengorbanan perlu dilakukan.

“Ini sebahagian pengorbanan yang perlu dilalui. Benar saya sedih kerana perlu meninggalkan MeleTOP, tetapi untuk perkembangan kerjaya saya perlu mengucapkan selamat tinggal.

“Saya tidak mahu berada dalam zon selesa dan ingin meneroka lebih banyak perkara membabitkan bidang pengacaraan ini. Jadi, kerana itu saya menerima tawaran Astro untuk mengacarakan program itu nanti,” katanya.

Katanya, dia sering membayangkan situasi akan meninggalkan MeleTOP dan tidak sangka apabila hari dibayangkan itu tiba, dia menjadi sangat hiba kerana program itu begitu sentimental bagi dirinya.

Lebih daripada itu, kata Neelofa, dia mempunyai beberapa perancangan besar membabitkan kerjaya seni menyebabkan dia memilih memberikan tumpuan kepada satu program televisyen saja buat masa terdekat.

“Saya mahu melebarkan bakat dan jenama di Indonesia. Ini adalah percubaan pertama saya dan kini perancangan ke arah itu sedang giat dilaksanakan.

“Saya tidak melihat pembabitan sebagai pengacara di sana, tetapi lebih kepada lakonan. Saya mahu menyertai industri filem di negara seberang. Doakan supaya apa yang saya usahakan tahun hadapan akan terlaksana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 5:00 AM