Risteena bersama Isa Khan di Bora Ombak. FOTO MAHZIR MAT ISA
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON Risteena Munim, 30, mengaku sedih apabila hubungan dengan pelakon baru, Ikhwan Khairuddin, 29, berakhir selepas tujuh tahun bercinta.

Apatah lagi, dia dan Ikhwan merancang untuk bernikah pada November lalu.

“Bagaimanapun, saya bukan jenis suka bercerita masalah yang dihadapi kepada orang sekeliling. Saya jenis diam dan pendam.

“Bayangkan, betapa sedihnya apabila perkara ini berlaku (putus cinta) sampaikan saya sudah tidak percaya dengan cinta,” katanya.

Kata Risteena lagi, walaupun sedih dan kecewa, dia percaya bahawa soal jodoh adalah ketentuan Allah. Justeru itu, sesukar mana sekali pun dia harus menerima hakikat itu.

Risteena turut menegaskan dia tidak akan berkongsi apa yang berlaku di antara dirinya dengan Ikhwan.

“Apa yang berlaku biarlah berlalu. Masing-masing sudah teruskan hidup seperti biasa, jadi tak perlulah cerita kami pernah bercinta dan tidak jadi berkahwin digembar-gemburkan,” katanya.

Menurut Risteena, pada saat hatinya dilanda kesedihan, hadir Isa yang meyakinkan dirinya bahawa cinta sejati itu wujud.

Malam tadi, Isa Khan, 26, mengumumkan dia sudah melamar Risteena pada 23 November lalu sewaktu bercuti di Bali, Indonesia.

Pengumuman itu dibuat dalam majlis khas sempena sambutan hari jadi dan pelancaran produk milik Risteena, di Bora Ombak.

Pasangan itu turut memaklumkan mereka sudah bertunang pada tarikh sama dengan disaksikan wakil keluarga kedua pihak.

Dalam pengumuman itu Isa menjelaskan dia dan Risteena berkenalan lima bulan lalu sewaktu membintangi drama Bulan di Kota Langit yang disiarkan di RTM.

Bagaimanapun, ketika itu mereka hanya berkawan sehinggalah ke Indonesia untuk menjayakan beberapa projek dan mula terasa rindu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 5:13 PM