AHMAD Idham mahu semua pihak bersabar. FOTO/NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri meminta semua pihak bersabar bagi mengetahui isu sebenar berhubung penggantungan tugasnya.

Beliau yang kini sedang bercuti berkata, kebenaran akan terserlah juga sekali gus merungkai kemelut yang melanda agensi kerajaan terbabit.

“Saya harap semua pihak bersabar kerana kebenaran akan diketahui dalam masa terdekat. Kemudian, kita akan lihat Hang Jebat akan mengeluarkan semula kerisnya," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ahmad Idham berkata, 'keris' itu yang sedang diasahnya semakin hari semakin 'tajam'.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, pergolakan dalaman Finas yang menyaksikan Ahmad Idham digantung tugas adalah perkara serius.

Katanya, umum mengetahui Ahmad Idham direhatkan daripada jawatan itu sejak Rabu lalu dan ia kini dipangku Timbalan Ketua Pengarah Finas, Subaidah Md Top.

“Situasi ini tidak pernah berlaku sepanjang Finas ditubuhkan. Kami menuntut Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyelesaikan kemelut ini dan melihat semula komposisi Ahli Lembaga Pengarah untuk memberikan nasihat," katanya dalam kenyataan bersama Persatuan Seniman Malaysia dan Persatuan Animasi Malaysia.

Jurey berkata, Ahli Lembaga Pengarah Finas yang berpengalaman perlu memainkan peranan berkesan bagi memastikan agensi itu berada di landasan tepat sekali gus memajukan industri kandungan kreatif tempatan.

“Kami mencadangkan badan bebas yang membabitkan wakil persatuan serta pakar perundangan dilantik dengan bertindak sebagai ahli panel jawatankuasa.Ia bertujuan menyediakan laporan penuh kepada kementerian berhubung isu yang berlaku selain peranan Finas mengikut Akta 244," katanya.

Menurut Jurey, pihaknya memohon kementerian menjelaskan situasi sebenar tambahan pula isu itu menjejaskan nama baik KKMM.

“Apabila seorang Ketua Pengarah Eksekutif direhatkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Pihak kami juga mahu dihentikan segera campur tangan Pengerusi dan Ahli Lembaga Finas terhadap operasi dan pentadbiran agensi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac ketika dihubungi berkata, agensi itu akan mengedarkan kenyataan media bagi memberikan penjelasan hari ini.

Ketika ditanya dakwaan mengatakan dirinya mahu mengambil alih tugas Ahmad Idham, beliau enggan mengulas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 1:23 PM