AHMAD Idham
Amirul Haswendy Ashari.


KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Nadzri mendedahkan keputusan dia menghantar surat permohonan penamatan kontrak lebih awal kepada Finas dilakukan selepas menerima tekanan daripada pihak tertentu.

Bagaimanapun, Ahmad Idham ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

“Betul, saya ada hantar surat mahu menamatkan kontrak lebih awal, tetapi keputusan itu diambil selepas menerima tekanan daripada pihak tertentu,” katanya.

Pendedahan Ahmad Idham susulan kenyataan media daripada Finas mengenai penamatan kontrak perkhidmatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan itu pada 10 Mac 2020, hari ini.

Ahmad Idham yang juga pengarah dan pelakon mula memegang jawatan itu pada 10 Mac lalu dan sepatutnya tamat kontrak pada 10 Mac 2021.

Dalam pada itu, satu sidang media bakal diadakan beberapa wakil persatuan antaranya Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (Profima) jam 3 petang esok.

Menurut sumber, sidang media itu bertujuan untuk mendesak Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo memperincikan semula keputusan Ahmad Idham itu yang disifatkan tidak adil kerana dikatakan akibat menerima tekanan pihak tertentu.

“Buat pertama kali dalam sejarah industri hiburan tempatan, hampir semua persatuan hiburan mahu ‘mendesak’ menteri mendengar suara mereka. Mereka mahu menteri mendengar suara industri, bukan daripada pihak ketiga yang pastinya mempunyai agenda tersendiri,” kata sumber terbabit.

Sumber turut memberitahu Harian Metro, wujud pihak tertentu yang memanipulasi secara halus keputusan menteri selain melakukan provokasi untuk mengeluarkan Ahmad Idham dari kedudukan itu.

“Kenapa menteri tidak selidik betul-betul sebelum bersetuju dengan keputusan menurunkan Ahmad Idham? Selama dia berada di kerusi itu, banyak perubahan positif yang berlaku dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Difahamkan, dalam tempoh itu kebanyakan penggiat seni mendakwa sangat berpuas hati dengan gerak kerja Ahmad Idham yang mengambil kira kebajikan artis dan industri hiburan tempatan.

Antaranya mengenai kebajikan artis dan penambahbaikan industri hiburan melalui pelbagai latihan untuk penggiat industri.

Sumber juga memberitahu, dakwaan mengatakan Ahmad Idham tidak melakukan tugasnya dengan baik yang disebarkan pihak tertentu bagi tujuan melobi adalah alasan yang tidak kukuh.

Pergolakan dalam Finas mula dihidu sejak minggu lalu apabila ada desas-desus mendakwa Ahmad Idham diminta bercuti selama tiga bulan bermula minggu ini.

Pada masa ini, Ahmad Idham berada di Johor dan Singapura untuk menyelesaikan beberapa urusan peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 10:08 PM