KONSERT Diljit Dosanjh cipta fenomena di seluruh dunia Jumaat ini.
Oleh Georgie Joseph


DI India, Diljit Dosanjh antara penyanyi paling popular dalam industri muzik di sana ketika ini. Sehubungan itu, kehadirannya bagi menjayakan konsert sulung Bollyboom Diljit Live In Malaysia 2019 di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Jumaat ini pasti dinantikan.

Pelakon, penyanyi, dan personaliti TV berusia 35 tahun itu mengakui sudah tidak sabar berkunjung ke sini. Apatah lagi ia kunjungan pertama, pasti dia berazam meninggalkan kenangan terindah buat semua.

“Sebaik mendapat tahu tawaran ini, saya memang terus teruja apabila diberitahu ramai peminat menanti kehadiran saya di Malaysia. Saya juga terharu apabila dimaklumkan tiket laris terjual.

“Saya sudah bersedia untuk menggegarkan Kuala Lumpur dengan irama bhangra khas buat peminat. Saya sangat teruja dan bakal menyampaikan lebih 25 lagu pada konsert itu nanti,” katanya dalam temu bual menerusi telefon, baru-baru ini.

Memiliki hampir tujuh juta pengikut di Instagram, penangan muzik Diljit sememangnya sangat luar biasa. Antara lagunya yang menjadi kegilaan termasuk Do You Know, 5 Taara, Put Jatt Da dan Raat Di Gedi.

Dia juga teringin bertemu lebih dekat dengan peminatnya di sini selain meneroka Kuala Lumpur sekiranya dapat mencuri masa berbuat demikian kelak.

“Sebenarnya waktu saya sangat terhad apabila berkunjung ke sana nanti dan jadual kerja juga sangat padat. Namun, saya amat berharap dapat memanfaatkan masa dan dapat luangkan masa berjalan-jalan di Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, kehadiran Diljit ke sini ternyata sangat dinantikan peminatnya.

Rohit juga yakin konsert berkenaan akan menjadi luar biasa.

“Diljit sudah mencipta fenomena di seluruh dunia sekarang. Jadi, kami tidak bimbang dan percaya persembahannya pada konsert sulung itu nanti meninggalkan impak tersendiri.

“Walaupun memilih KL Live sebagai lokasi konsert dan bukannya stadium besar, bagi kami paling penting adalah kualiti segala sistem di lokasi itu sendiri. Lagipun, KL Live juga boleh menampung kira-kira 3,000 penonton,” katanya.

Diljit meraih 20 anugerah sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi dan tujuh lagi melalui lakonan.

Setakat ini, dia sudah menghasilkan 13 album dan 40 single, selain muncul dalam 21 filem Bollywood serta Punjabi.

Tiket menyaksikan persembahannya mula dijual pada 4 November lalu di www.myticket.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:00 AM