Ridzuan Abdul Rahman


PERSATUAN Pekerja Filem Profesional Malaysia (Profima), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT), Malaysian Society of Cinematographers (MySC) dan Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDAM) meminta Menteri Komunikasi & Multimedia, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac serta Ahli Lembaga Pengarah Finas yang mempunyai kepentingan peribadi supaya meletak jawatan.

Mereka turut meminta Ahmad Idham Ahmad Nadzri dikekalkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas dan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Ahmad Idham.

Presiden Profima Kapten (K) Khir Mohd Noor berkata, mereka merasakan sikap acuh tidak acuh Menteri terhadap masalah industri perfileman serta tidak mesra dengan penggiat seni membuatkan mereka berasa jauh dan terpinggir.

“Sehingga hari ini kami belum berkesempatan untuk bersemuka dan berbincang mengenai masalah industri perfileman dengannya. Beliau seolah-olah mengelak untuk bertemu kami dalam beberapa siri majlis yang diadakan," katanya dalam sidang media khas yang diadakan hari ini.

Dalam sidang media itu, Seniman diwakili Timbalan Presidennya Zuraini Kassim, FDAM oleh Presidennya, Datuk Dr Ahmad Ibrahim; KOMFIT diwakili Isozaly Mohd Isa; MySC oleh Setiausaha Agungnya Mohd Filus Ghazali dan PIKDAM oleh Presidennya, Mohd Dean Lau Abdullah.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan bekas Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman.

Dalam masa sama, Khir turut mendakwa Hans sering mencampuri urusan kerja Ahmad Idham sehingga beberapa perancangan yang memberi impak baik untuk industri perfileman tempatan terbantut," katanya.

Menurut Khir, banyak perkara tidak betul berlaku dalam Finas termasuk isu pemberian geran kepada penerbit filem.

“Kami nak tahu geran diberi kepada penerbit mana dan mana filem-filem yang dihasilkan? Sekiranya tak jadi tolong pulangkan semula kepada Finas. Kalau tak boleh selesaikan masalah industri filem, tutup saja Finas dan gantikan dengan suruhanjaya berkaitan," katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Gobind dan Hans bagi mendapatkan reaksi mereka tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej WhatsApp tidak dijawab.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Finas meluluskan permohonan Ahmad Idham untuk memendekkan kontraknya sehingga 10 Mac tahun depan. Kontraknya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas sepatutnya tamat pada 10 Mei 2021.

Ahmad Idham pula mengesahkan ada menghantar permohonan itu tetapi ia dilakukan kerana menerima tekanan daripada pihak tertentu.

#kw Finas

#loc Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 8:27 PM
KHIR (empat dari kiri) bersama (dari kiri), Kamil, Zuraini Kassim, Isozaly, Nadzim pada sidang media kepincangan dalam pengurusan Finas. FOTO: Khairul Azhar Ahmad.