ADIRA Suhaimi.
Syanty Octavia Amry


PENYANYI Adira Suhaimi, 28, menafikan dakwaan dirinya hamil berikutan tidak sihat baru-baru ini. Lebih hangat diperkatakan apabila tubuh badannya kian berisi.

“Saya tidak mengandung, itu lemak. Tidak dinafikan selepas melahirkan anak ketiga sukar untuk saya turunkan berat badan.

“Saya kini dalam proses menurunkan berat badan dan diakui bukan mudah untuk melakukannya.

“Mungkin disebabkan ketiga-tiga anak saya dilahirkan secara pembedahan, jadi lebih susah,” katanya.

Dalam pada itu, Adira mengakui terkilan dan kecewa apabila lagu nyanyiannya, Pujaan Hati gagal mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34.

Adira berkata, sebagai penyanyi sesiapa pun pasti berharap untuk bertanding di pentas AJL.

“Sudah semestinya saya berharap lagu ini berjaya mara ke AJL apatah lagi agak lama tidak muncul dengan karya baru.

“Tidak saya nafikan ketika itu kesihatan saya kurang baik dan mungkin menjadi antara punca. Jika tidak, saya yakin boleh berikan yang lebih baik.

“Apapun, saya reda dan akur dengan apa yang sudah ditentukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 6:00 PM