DONNIE Yen (kiri) ketika bertarung dengan pelako Wu Yue dalam filem Ip Man 4: the Finale. FOTO: Shaw Organisation
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Hong Kong, Donnie Yen mengumumkan Ip Man 4: The Finale adalah filem kungfu terakhir lakonannya.

Bagaimanapun, pelakon yang memegang peranan sebagai Ip Man itu menegaskan bahawa itu bukan filem aksi terakhirnya.

"Ip Man 4: The Finale adalah filem kung fu terakhir saya. Namun, jangan salah faham kerana ia bukan bermaksud saya akan berhenti berlakon filem aksi.

"Filem kung fu adalah filem aksi tetapi filem aksi bukan filem kung fu. Perlu faham hakikat itu," katanya kepada kepada Harian Metro.

Donnie yang ditemui di sidang media Ip Man 4: The Finale hari ini meluahkan rasa terujanya dapat kembali ke Malaysia.

"Saya rasa sangat gembira kerana sekali lagi diberi peluang untuk kembali ke Malaysia dan bertemu dengan peminat di negara ini," katanya.

Turut hadir pelakon Denny Chan Kwok Kwan yang memegang peranan sebagai Bruce Lee, penerbit Raymond Wong dan penulis skrip Edmond Wong.

Malam ini, Donnie dan Danny akan membuat kemunculan di Suria KLCC untuk sesi bertemu peminat.

Di Malaysia, Ip Man 4: The Finale akan ditayangkan pada 20 Disember 2019 .

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 7:53 PM