FAROUK DAN Amylea
Sudirman Mohd Tahir


NAMA komposer, Farouk Roman dan penulis lirik yang juga penyanyi, Amylea Azizan cukup sinonim dengan lagu tema drama tempatan atau OST.

Tidak keterlaluan jika dikatakan gelaran Komposer OST selayaknya diberikan kepada mereka.

Selepas menyerlah dalam drama Nur dan Cari Aku Di Syurga, karya Farouk dan Amylea kembali menghiasi drama bersiri Adellea Sofea yang ditayangkan di slot Akasia, TV3.

Melihat kepada trend itu, ramai beranggapan karya Farouk dan Amylea eksklusif untuk lagu tema.

Farouk, 29, atau nama sebenarnya Mohd Farouk Abd Razak berkata, dia punya alasan tersendiri kenapa memilih cara itu.

“Saya memang mahu terapkan konsep sebegitu. Jika di luar negara, Korea Selatan dan Indonesia yang banyak buat. Jadi, di sini biarlah saya pula. Tapi, saya dan Amylea tidak main ambil saja. Kami pun kena pilih drama yang sesuai. Dari situ, baru kami boleh berkarya.

“Insya-Allah, akan datang ada juga lagu kami untuk drama di stesen TV lain. Selain itu, saya juga merancang untuk menghasilkan lagu yang bukan untuk projek lagu tema drama,” katanya.

Empat lagu yang dicipta khas untuk drama lakonan Mira Filzah dan Ungku Ismail itu adalah Tentang Rahsia nyanyian Judika dan Shila Amzah, Bagai Lagu Indah (Adzrin Big Stage 2), Syarat Bahagia (Dinda Permata) dan Selalu Denganmu (Amylea x Kaer) yang mana tiga daripadanya terbitan dan edaran Seventeen Eleven Music.

Berkongsi mengenai lagu baru itu, Farouk berkata, semuanya berbeza daripada karya sebelum ini, sekali gus memaparkan sisi berbeza Farouk untuk muzik dihasilkan.

“Semua lagu kali ini memang lain. Memang saya nak tukar mood lagu saya supaya tidak sama dengan sebelumnya. Lagipun, seperti lagu sebelum ini kami tulis berdasarkan jalan cerita drama itu. Jadi, itu yang feel sedih.

“Kiranya, untuk drama ini jalan ceritanya tak terlalu sedih dan ada sweet. Jadi, saya boleh berkarya. Macam lagu lain juga, kami tulis khas untuk drama itu.

“Bagi drama ini, kami ambil masa dua bulan untuk menghasilkan semua lagu. Dapat saja skrip, kami baca dan teliti satu persatu jalan cerita supaya lagu itu kena dengan drama,” katanya.

Bagi lagu Bagai Lagu Indah, ia berentak Pop R&B, Syarat Bahagia pula Pop Balada dan Selalu Denganmu berentak R&B.

Menurut Farouk, pemilihan penyanyi pula berdasarkan kesesuaian vokal mereka.

“Pemilihan Dinda dan Adzrin sebab tahu kemampuan vokal mereka untuk lagu ini. Mereka mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri. Pada masa sama, ia dapat memberi kelainan dalam industri, begitu juga dengan lagu saya,” katanya.

Bagi Amylea pula, ilham menghasilkan semua lirik mudah selain membaca jalan cerita drama itu.

“Tidak sukar untuk buat lirik lagu ini. Macam biasa, syarikat penerbitan Radius One akan memberikan skrip dan sinopsis cerita terlebih dahulu.

“Dengan ini saya tahu apa yang diperlukan dalam drama. Saya suka cerita ini sebab ada kesedihan dan gembira. Jadi, untuk lagu ini ada dua lagu romantik dan gembira dan satu lagi sedih iaitu Dinda Permata.

“Ilham tercetus apabila saya mendengar melodi dihasilkan Farouk. Dari situ, saya tulis lirik. Pada masa sama, lirik yang dihasilkan tidak terlalu fokus pada drama itu, tapi ia dikembangkan secara keseluruhan. Jadi, ia boleh dikaitkan dengan mana-mana situasi,” katanya.

Semua lagu itu sudah dilancarkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music dan semua platform digital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 5:10 AM