BITTERSWEET beraksi sempena KL International Urban Youth Festival.
BITTERSWEET beraksi sempena KL International Urban Youth Festival.

BAGI merakyatkan seni, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan bakal menganjurkan acara KL International Urban Youth Festival yang akan berlangsung esok di Dataran Medan Pasar, Kuala Lumpur.

Lebih menarik, acara terbabit menampilkan persembahan dari dalam dan luar negara selaras dengan jiwa remaja kota yang meminati genre muzik hip hop, Indie, rock dan reggae.

Antara selebriti yang bakal beraksi ialah Ras Muhamad, Bittersweet, Ryotjones, Banyak Bunyi Republik dan Diplomat of Drum.

Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun, penganjuran festival ini juga adalah tertakluk kepada salah satu manifesto di bawah inisiatif Wilayah Peduli yang membuka ruang kepada golongan remaja warga kota untuk berekspresi dengan kepelbagaian Sub-budaya yang mereka minati secara sihat dan terkawal.

“Pada peringkat awal ini, sebagai permulaan KL International Urban Youth Festival berlangsung dengan skala sederhana dan membabitkan kerjasama penggiat seni dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

“Antara objektif utama penganjuran festival ini adalah untuk menarik lebih ramai anak muda dan pelancong asing bagi mengenali budaya negara ini,” katanya.

Sementara itu, Duta Reggae Indonesia, Ras Muhamad mengakui amat teruja untuk mengadakan persembahan di acara itu.

“Penganjuran festival ini adalah platform terbaik untuk kita merehatkan minda dan berhibur,” katanya.

Selain persembahan artis popular, festival terbabit turut dimeriahkan dengan beberapa acara seperti open mic , B-boy serta acara seni graffiti, x-games dan E-sport.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:08 PM