HANEESYA Hanee pada majlis pelancaran single dan muzik video Mengejar Mimpi di 1 Utama.
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan model Haneesya Hanee kini bergelar penyanyi rap apabila berkolaborasi bersama band Bimasakti menerusi single Mengejar Mimpi.

Haneesya ketika ditemui berkata, dia menjadikan Nicki Minaj, Cardi B dan Mimifly sebagai sumber inspirasinya dalam dunia hip hop.

“Saya sendiri tak pernah terfikir akan menjadi penyanyi rap. Rujukan dan inspirasi saya ialah Nicki Minaj, Cardi B dan Mimifly yang memang hebat dalam lagu rap,” katanya kepada Harian Metro.

Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahalan berkata, ini adalah keputusan sukar buatnya sebelum bersetuju untuk terbabit sama.

“Susah untuk saya buat keputusan pada awalnya. Namun, selepas berbincang dengan ibu dan anggota Bimasakti pun menyokong, saya terima pelawaan mereka.

“Pada awalnya, mereka inginkan saya menyanyi dalam lagu itu tetapi kemudian dimaklumkan saya perlu menyanyikan rap,” katanya.

Bimasakti yang dianggotai Hazrul selaku vokalis, Jim (pemain gitar) dan Am (pemain dram) memuji kemampuan nyanyian Haneesya dalam lagu baru itu.

“Kami cuba nasib untuk memujuk Haneesya dan bila cuba buat, memang dia boleh melakukannya dengan baik.

“Proses rakaman pun tak makan masa lama iaitu sekitar dua kali sahaja,” kata Jim mewakili kumpulannya.

Mengejar Mimpi adalah karya ciptaan komposer Harris Yusoff dan liriknya oleh gitaris Bimasakti, Jim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 7:40 PM