AALAN Ahmad.
Ridzuan Abdul Rahman


KETUA kumpulan dan pemain keyboard kumpulan Ukays, Amy Hassan bersimpati dengan pemain gitar profesional, Aalan Ahmad yang dikecam teruk apabila terbabit dalam Konsert Minggu Ini UK’s Reunion di RTM pada 23 November lalu.

Ia berikutan komen keterlaluan seorang peminat yang menghina pemain gitar undangan UK’s Reunion dengan menggunakan perkataan tidak elok. “Saya pun nampak ada perkataan kurang baik ditujukan kepada Aalan. Ikutkan saya pun dijemput terbabit tetapi dalam masa sama ada konsert lain di Terengganu.

“Sebenarnya, siapa pun yang berada dalam UK’s, kita anggap dia pemuzik undangan. Walaupun siapa dia, peminat tak bolehlah tulis perkataan tak elok kerana kita kena terima seadanya. Janganlah menghina,” katanya kepada Harian Metro.

Amy atau nama sebenarnya Azmi Hassan berkata, dia tidak menyokong tindakan negatif itu kerana ia sangat tidak sihat.

“Kalau tak dibuat ‘reunion’ ini, ia takkan berlaku langsung. Lagipun, industri kita kecil saja dan sepatutnya peminat berbangga dan bersyukur kerana sudah 25 tahun UK’s tak bergabung.

“Tak semestinya sebut ‘reunion’, saya mesti kena ada. Tanpa saya pun anggota lain boleh meneruskan perjuangan mencari rezeki masing-masing. “Saya faham peminat memang kurang berpuashati dan ada yang tak suka tetapi mereka kena terima hakikat yang dulu takkan sama dengan yang sekarang,” katanya.

Mengulas kekeliruan peminat terhadap kewujudan dua kumpulan iaitu Ukays dan UK’s, Amy berkata, masing-masing ada keistimewaan tersendiri. “Namanya seakan sama dan tiada kekeliruan sebenarnya. Cuma, peminat generasi sekarang tak tak tahu kedua-dua kumpulan ini terbentuk daripada perpecahan yang berlaku.

“Ukays dulu dianggotai saya, Amir, Well, Ali dan Allahyarham Din. Apabila berlaku perpecahan pada 1996, Ukays bertukar jadi UK’s yang dianggotai oleh saya, Amir, Olley dan Amirul.

“Cuma kalau nak dibezakan Ukays terkenal dengan lagu-lagu baru antaranya I Love You I Miss You dan Terpaksa Kulepaskan. Manakala UK’s yang dianggotai Amir terkenal dengan lagu-lagu lama yang malar segar,” katanya lagi.

Menurut Amy, dia bergerak dengan dua anggota lama iaitu Well dan Ali serta tiga anggota baru iaitu Faiz, Fauzi dan Achik sebagai penyanyi. “Kedua-dua kumpulan bebas menyanyikan lagu popular UK’s kerana itu hak masing-masing. Belum ada lagi arahan mahkamah yang melarang perkara ini.

“Kami ada lagu baru tetapi lagu lama tetap dinyanyikan atas permintaan peminat. Setakat ini rezeki kami sangat baik. Alhamdulillah.

“Bulan ini sahaja kami menjayakan persembahan di 24 lokasi. November lalu kami menjelajah 20 tempat,” katanya yang akan menghasilkan lima single baru untuk kumpulannya.

Ukays juga akan menjadi artis undangan Konsert Jelajah 1000 Tahun Takkan Mungkin BPR yang akan berlangsung pada 28 Disember ini di Roof Top, City Plaza, Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 8:48 PM